Samun barang kemas RM170,000 selepas acu parang di leher

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Akibat cemas diacu parang di leher, wanita terpaksa menyerahkan barang kemas bernilai RM170,000 dipakainya kepada dua lelaki dalam kejadian samun, semalam.

Kejadian berlaku pada 10 pagi ketika mangsa berusia 63 tahun tinggal berseorangan di rumahnya di Kampung Berangan Stesen, di sini, sebelum didatangi dua penyamun terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek datang dengan menaiki motosikal dan memakai topi keledar lalu terus masuk ke rumah mangsa dengan memegang dua bilah parang.

“Seorang daripada suspek meletakkan parang di leher serta menekup mulut mangsa menggunakan tangan, manakala seorang lagi merentap rantai leher serta dua utas gelang tangan yang dipakai mangsa.

“Mangsa turut menjerit meminta tolong, namun tidak didengari jiran dan ketika kejadian, dia berada seorang diri di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Balai Polis Palekbang, di sini, hari ini.

Shafien berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan empat lelaki berusia 35 hingga 41 tahun dalam serbuan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu pada 7.30 malam semalam dan 7 pagi tadi.

SHAFIEN (dua kiri) menunjukkan dua utas gelang emas yang berjaya ditemui dalam kejadian samun di Kampung Berangan Stesen. FOTO Siti Rohana Idris
SHAFIEN (dua kiri) menunjukkan dua utas gelang emas yang berjaya ditemui dalam kejadian samun di Kampung Berangan Stesen. FOTO Siti Rohana Idris

Katanya, hasil siasatan awal mendapati seorang daripada suspek pernah menyewa rumah milik mangsa bersebelahan kediamannya.

“Daripada tiga barang kemas yang disamun, pihak kami berjaya menemukan semula dua utas gelang bernilai RM20,000 dan RM60,000.

“Kita sedang mengesan seutas rantai leher dianggarkan bernilai RM90,000 dan dipercayai sudah dijual atau digadai suspek,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas enam telefon bimbit, tiga keping resit transaksi wang dan kad debit bank.

Katanya, kedua-dua suspek memiliki antara dua hingga 10 rekod jenayah termasuk kes dadah selain berada dalam senarai dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes pukul dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek yang ditahan terbabit positif methamphetamine dan mereka direman enam hari bermula hari ini sehingga 19 September ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan dengan senjata,” katanya.

Sumber: My Metro