Pembantu perubatan dituduh sebabkan dua maut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tanah Merah: Pembantu perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua penunggang motosikal dan seorang lagi parah dalam kemalangan jalan raya di Jeli, Jumaat lalu.

Tertuduh, Zurailie Muhamad, 36, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Zurailie yang bertugas di sebuah klinik kerajaan didakwa memandu sebuah kereta secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal, manakala seorang lagi cedera parah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Jeli kira-kira 11.11 pagi pada 10 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87).

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 serta tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mazuin Che Mahmood yang menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

ZURAILIE Muhamad didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta sehingga menyebabkan kematian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZURAILIE Muhamad didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta sehingga menyebabkan kematian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki maut dan seorang cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah kereta Honda Civic yang membuat pusingan U secara mengejut.

Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 17 tahun dan 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala remaja berusia 17 tahun cedera parah.

Saringan ujian air kencing mendapati tertuduh positif dadah jenis methamphetamine.

Sumber: My Metro