Guru KAFA Terima Bantuan RM20,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Seramai 100 guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) dan Maahad, pondok dan Madrasah Daerah Kuantan bagi kawasan Dewan Negeri (DN) Lepar menerima sumbangan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang berjumlah RM20,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Lepasr, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, setiap guru KAFA menerima sumbangan RM200 yang telah disampaikan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat DN Lepar, Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Lepar, YB. Dato’ Abd Rahim Muda

Pelbagai bantuan telah disalurkan oleh Kerajaan Pahang yang diberikan secara bersasar kepada penduduk yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 sebagai bukti keprihatinan kerajaan menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Rakyat melihat supaya bantuan ini dapat diteruskan lagi di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar yang amat cakna terhadap masalah rakyat di Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Khas YAB MB kepada Pegawai Masjid Rawatib, Guru KAFA dan Maahad, Pondok dan Madrasah Daerah Kuantan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Hiasan Jalur Gemilang di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat DN Lepar, Kuantan.

Pada majlis sama turut diserahkan jubah kepada tujuh wakil penerima bagi masjid dan surau Daerah Kuantan bagi kawasan DN Lepar menerusi Inisiatif Jubah Kepada Pegawai Masjid dan Surau.

Selepas itu, YB Dato’Abd Rahim juga turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Hiasan Jalur Gemilang melibatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) UMNO Bahagian Paya Besar.

Sumber: PAHANGMEDIA