Pahang Bersedia Laksana Gelembung Pelancongan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Negeri Pahang juga bersedia untuk melaksanakan gelembung pelancongan apabila mendapat kebenaran daripada kerajaan pusat nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang , YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya seharusnya melihat perkara ini kerana sektor pelancongan di negeri ini turut menjadi perhatian KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri.

“Di Negeri Pahang, lokasi seperti Bukit Fraser, Raub dan Pulau Tioman telah lama bersedia untuk kembali dibuka sektor pelancongan di situ. Imuniti kelompok juga telah dicapai,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, apabila kerajaan memutuskan melaksanaan program gelembung pelancongan domestik, ia sebenarnya memberi kelegaan dan sinar baharu penggiat industri pelancongan yang telah lama terjejas susulan penutupan keseluruhan rantaian sektor pelancongan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

Namun, setelah segala perancangan dibuat termasuk mencapai imuniti kelompok, hanya Pulau Langkawi dibenarkan terlebih dahulu dan ia pasti sedikit mengecewakan penggiat sektor berkenaan.

Katanyam pembukaan semula sektor pelancongan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

SUMBER: PAHANGMEDIA