KUANTAN : Suntikan pada peringkat awal Program Imunisasi COVID-19 Remaja Pahang yang bermula hari ini akan melibatkan seramai 42,875 orang pelajar berumur 16 hingga 17 tahun.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia melibatkan pelajar dari sekolah atau institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Jabatan Agama Islam Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta institusi swasta termasuklah institusi tahfiz, pondok dan madrasah persendirian.
“Dijangkakan pemberian imunisasi COVID-19 kepada pelajar sekolah berumur 16 hingga 17 tahun ini akan selesai pada 30 September 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.
Beliau berkata, selain daripada pelajar sekolah, remaja Orang Kelainan Upaya (OKU), remaja berada di institusi-institusi pemulihan dan perlindungan, serta remaja golongan rentan termasuk gelandangan tidak terkecuali daripada menjadi keutamaan dalam program imunisasi ini.
“Mereka akan turut menerima suntikan daripada aktiviti jangkauan luar yang akan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan para sukarelawan.
“Suntikan bagi remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan atau komorbid telah bermula pada 15 September 2021 yang lepas.
“Sehingga kini, seramai 183 remaja yang ada masalah kesihatan atau komorbid telah diberi suntikan di hospital berpakar. Hospital Pekan telah memberi suntikan kepada 165 remaja dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pula 18 remaja,” jelasnya.
Beliau berkata, program Imunisasi COVID-19 Remaja Pahang menetapkan sasaran sebanyak 60 peratus populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya dos 1 vaksin pada November dan 80 peratus populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun lengkap dengan dos 1 dan dos 2 vaksin pada Disember 2021.
Sumber: PAHANGMEDIA