Kelantan bersedia terima suntikan vaksin dos ketiga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bachok: Kelantan bersedia menerima suntikan vaksin penggalak jika langkah itu terbukti dapat meningkatkan imuniti diri dan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada pengambilan vaksin penggalak itu diwajibkan atau pilihan.

“Kita kena bersedia jika pandangan pakar perubatan dan saintis mengatakan pengambilan vaksin penggalak itu menjadikan imuniti diri meningkat.

“Saya sendiri masih belum tahu sama ada ia pilihan atau wajib dan sebaiknya kita tunggu kerajaan buat keputusan dan kita perlu bersedia,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam perkembangan vaksinasi di Kelantan, Izani berkata, sehingga semalam, seramai 935,000 sudah menerima dos pertama dan hanya berbaki kira-kira dua minggu saja lagi untuk Kelantan mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan.

Menurutnya, dianggarkan hanya 10 peratus saja iaitu kira-kira 10,000 yang masih belum menerima pelalian Covid-19 termasuk mereka yang menetap di luar Kelantan, tidak dapat dikesan, pesakit terlantar dan tiada aplikasi MySejahtera.

“Semalam juga kita sudah mulakan vaksinasi untuk remaja yang berusia 16 serta 17 tahun dan kira-kira 2,000 sudah mendapatkan dos pertama tidak termasuk hari ini.

“Kita menerima senarai nama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan diharapkan kehadiran remaja ke pusat pemberian vaksin (PPV) mendapat sambutan yang baik,” katanya yang ditemui di Pantai Irama di sini, bagi meninjau beberapa projek untuk menambaik baik lokasi peranginan itu nanti.

Izani berkata, pelbagai usaha sudah dibuat oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam mengekang wabak Covid-19 serta pemberian vaksinasi dan ikhtiar yang selebihnya terletak di bahu rakyat sendiri.

Beliau berkata, hebahan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sudah tidak lagi perlu diingatkan oleh kerajaan kerana rakyat harus menitikberatkan sendiri pematuhan itu.

“Pemakaian pelitup muka perlu menjadi amalan selain penjarakan sosial serta jangan berkumpul lama di tempat tertutup bagi mengelakkan penularan wabak itu,” katanya.

IZANI (tengah) meninjau beberapa projek untuk menambah baik lokasi peranginan ketika ditemui di Pantai Irama Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IZANI (tengah) meninjau beberapa projek untuk menambah baik lokasi peranginan ketika ditemui di Pantai Irama Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sumber: My Metro