Isu harga LPG membebankan di Pulau Redang sedang diatasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Isu harga gas petroleum cecair (LPG) atau gas memasak yang membebankan penduduk Pulau Redang, di sini, sejak lebih lima tahun lalu dijangka selesai tidak lama lagi.

Ini berikutan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan penyeragaman harga menerusi Program Community Drumming membabitkan bahan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk meneruskan penghantaran LPG, petrol dan diesel di bawah program berkenaan ke pulau peranginan itu menerusi kaedah rundingan terus.

Katanya, program Community Drumming itu secara tidak langsung membantu mengurangkan beban kos sara hidup penduduk yang terkesan ketika krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dengan keluhan dan denyut nadi rakyat, saya ingin jelaskan usaha meneruskan Program Penyeragaman Harga dan Community Drumming di Pulau Redang ini dalam tindakan.

“Melalui program ini, kerajaan akan menampung kos pengangkutan barangan dari tanah besar ke pulau bagi membolehkan pengguna di kawasan pulau turut menikmati harga yang sama seperti di darat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP mengambil tindakan segera bagi menjamin kesejahteraan penduduk di pulau peranginan itu untuk mendapatkan barangan perlu pada harga sama seperti dinikmati penduduk di bandar.

Katanya, sebelum ini kerajaan melaksanakan Program Penyeragaman Harga di pulau peranginan itu sejak 2012 hingga 2018.

Bagaimanapun, program membabitkan penghantaran empat barang perlu iaitu beras, gula, minyak masak dan tepung dihentikan seketika bermula awal 2019 hingga April tahun ini.

“Program berkenaan kemudian diteruskan semula pada Mei lalu bagi meringankan beban penduduk yang sebahagian besar menjalani kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Penyeragaman harga itu membolehkan penduduk menikmati harga sama sebagaimana yang dinikmati pengguna di tanah besar,” katanya.

Ahad lalu, portal Harian Metro melaporkan penduduk Pulau Redang merayu kerajaan mengembalikan semula subsidi LPG serta bahan api lain yang dihentikan sejak lima tahun lalu.

Bahan api terbabit yang dijual di pulau berkenaan pada harga RM45 bagi silinder 14 kilogram (kg) jauh berbeza berbanding harga runcit di tanah besar iaitu sekitar RM26 sekali gus membebankan penduduk.

Sumber: My Metro