KUANTAN: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Pahang daripada RM500 kepada RM750 berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, nilai kenaikan itu ditanggung oleh Kerajaan Negeri terlebih dahulu sehinggalah kelulusan mengenainya diperolehi daripada agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Adalah diharapkan dengan kenaikan ini dapat sedikit-sebanyak mengurangkan beban kewangan mereka berkenaan, seterusnya menjadi pendorong untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan lagi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau juga berkata, pada mesyuarat MMK sama, kelulusan diberi kepada cadangan pewujudan tiga lagi JPKK di negeri ini iaitu JPKK Kampung Seri Sedia, JPKK Ringlet dan JPKK Kampung Raja kesemuanya di Cameron Highlands.
Menurut beliau, sementara menunggu kelulusan kewangan dan penubuhannya oleh KPLB, kos bagi pengendalian ketiga-tiga JPKK ini juga akan ditangung terlebih dahulu oleh Kerajaan Negeri.
“Atas pewujudan JPKK-JPKK yang baharu ini diharap, perkhidmatan kemasyarakatan yang lebih padu dan berkesan dapat diberikan demi manfaat penduduk di kawasan-kawasan terlibat,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA