Kuala Krai: Polis menyerbu sebuah premis di Taman Lucky Garden, di sini, yang dipercayai menjadi lokasi ‘perlombongan’ mata wang digital bitcoin secara haram.
Serbuan dilakukan pada 2 petang 13 September lalu selepas aduan kes curi bekalan arus elektrik dan polis merampas 148 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM148,000.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat pemerhatian dan mendapati seorang lelaki datang dengan motosikal sebelum menuju ke premis berkenaan.
“Anggota kami bertanyakan tujuannya hadir di hadapan premis itu dan lelaki itu memberitahu mahu memeriksa bekalan elektrik mesin bitcoin di situ.
“Hasil pengesahan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut sama dalam serbuan, wujud kecurian arus elektrik dalam premis terbabit dan premis itu didapati menjalankan aktiviti pemasangan mesin bitcoin dengan mencuri arus elektrik TNB secara haram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suzaimi berkata, kegiatan mencuri bekalan elektrik itu dikesan dilakukan selama tiga bulan sejak Julai lalu.
Beliau berkata, berikutan itu, TNB mendakwa mengalami kerugian RM50,767 setiap bulan akibat kegiatan mencuri arus elektrik untuk operasi mesin bitcoin itu.
“Selain 148 unit mesin bitcoin, kami merampas beberapa peralatan lain termasuk dua set komputer dan modem, tiga unit 4G router, dua Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan papan kekunci.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan elektrik 1990 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
Sumber: My Metro