Pelajar Gembira Terima Vaksin Awal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN, 24 SEPTEMBER 2021 : Pemberian vaksin kepada pelajar berumur 16 dan 17 tahun diterima dengan rasa teruja dan gembira selepas golongan ini turut menanti giliran.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Muhammad Mika’el Mohd Azra’ie, 17, berkata, perasaan lega dan gembira dapat dirasai selepas mendapat suntikan vaksin.

Muhammad Mika’el Mohd Azra’ie

“Ramai rakyat Malaysia dah dapat vaksin, sudah pasti kami golongan pelajar pun mahu divaksin untuk sama-sama wujud kan imuniti kelompok.

“Lepas ni boleh la pergi ke sekolah dan ke mana-mana dengan rasa lebih selamat, lagi best boleh dine-in di kedai makan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Pusat Pemberian Vaksin (PPK) SMK Bukit Rangin, di sini.

Bagi pelajar sekolah sama, Nur Anees Fateha Kamaruzrizan, 17, vaksin memberi keyakinan kepadanya untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Nur Anees Fateha Kamaruzrizan

“Saya rasa gembira dapat vaksin sebab dapat pergi sekolah seperti biasa seperti sebelum ini walaupun masih dalam situasi wabak.

“Sekurang-kurangnya kami sudah divaksin untuk pergi ke sekolah dan kita tahu sekolah ada ramai orang, jadi keputusan turut memberi vaksin kepada kami adalah sangat tepat” katanya.

Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nik Nur Wardiah Quratu’aini Nik Li, 17, gembira kerana dapat pergi ke sekolah dengan perasaan lebih tenang.

“Saya gembira sebab selain ke sekolah, saya dapat pergi ke kelas tambahan atau tuisyen selepas divaksin dan ia dibenarkan oleh kerajaan.

Nik Nur Wardiah Quratu’aini Nik Li

“Ia sebagai persediaan untuk saya menghadapi peperiksaan dan sudah pasti vaksin memberi kami peluang untuk kembali mencari ilmu di luar selepas hanya melalui PdPR,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA