BERA : Kira-kira 5,000 penduduk akan menerima manfaat daripada jambatan baharu Guai yang dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, jambatan ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Bera dan Chenor.
“Jambatan itu akan dapat digunakan sepenuhnya dan akan memberikan satu impak positif dalam pembangunan sosial ekonomi di Daerah Bera.
“Kalau sebelum ini penduduk di Kampung Guai, Charuk Puting, dan Batu Bor berurusan melalui sebahagian daripada jabatan-jabatan Kerajaan di Daerah Temerloh dan Maran namun selepas ini kita percaya hampir keseluruhannya boleh mereka uruskan dengan lebih baik lagi melalui pejabat Kerajaan di Daerah Bera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika Program Lawatan Kerja ke Daerah Bera dan Pekan.
Beliau berkata pembukaan jambatan baharu ini juga dilihat dapat merancakkan lagi ekonomi masyarakat di daerah Bera.
“Kalau sebelum ini mereka (penduduk) terpaksa menjual hasil pertanian mereka kepada peraih-peraih di sekitar Temerloh tetapi dengan adanya jambatan ini mereka boleh memasarkannya kepada peraih-peraih di Bera itu sendiri.
“Dengan accessibility yang lebih baik dengan kewujudan jambatan itu, akan menyebabkan guna tanah di kampung-kampung sepanjang Sungai Pahang dan berhampiran dengan sungai itu akan lebih meningkat lagi.
“Ini juga akan meningkatkan lagi pendapatan isi rumah di kampung-kampung tradisional di Daerah Bera,” katanya.
Jambatan baharu Guai sepanjang 770 meter ini mula dibina pada 2017 yang menghubungkan Jalan Kampung Guai dengan Jalan Mengkarak-Paloh Hinai.
Projek pembinaan jambatan ini turut membina sebuah jalan baharu sepanjang 799 meter bagi menghubungkan jambatan dengan jalan sedia ada di kedua-dua bahagian sungai.
Sumber: PAHANGMEDIA