KUANTAN : Program #Ros_Care : Prihatin Covid-19 Himpunan Sinergi Pertubuhan Kebangsaan Negeri Pahang 2021 yang dilancarkan hari ini merupakan kolaborasi antara Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, ia turut melibatkan usaha menggabungkan sembilan buah NGO kebajikan dari seluruh negeri Pahang untuk menjayakan program tersebut.
“Saya kira program ini sangat baik kerana NGO selalunya jalankan kerja-kerja kebajikan, ROS pula kita tahu satu agensi yang mengawalselia semua pertubuhan
“Jadi penglibatan ROS dengan NGO kebajikan ini dapat satu sinergi baru bukan sahaja dari segi tadbirurus yang lebih baik dengan NGO-NGO ini tetapi juga dapat memastikan mereka melaksanakan peranan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program #Ros_Care : Prihatin Covid-19 Himpunan Sinergi Pertubuhan Kebangsaan Negeri Pahang 2021 di bangunan Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, di sini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Encik Wan Zainul Azam Khamis @Abdul Majid; Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Pahang, Tuan Syed Dzulkifli Syed Mohammad serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Sementara itu, Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, sokongan dan bantuan turut diberikan dalam memperkasa setiap NGO yang ada seterusnya memastikan agenda kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya dapat dilakukan dengan sempurna.
“Peranan NGO ini sebagai satu badan check n balance antara polisi kerajaan negeri (perlaksanaan) dengan rakyat.
“Kita di negeri Pahang ini sangat bertuah kerana mendapat kerjasama yang sangat baik antara badan kebajikan NGO, tak kira lah NGO kebajikan ke, alam sekitar atau NGO-NGO lain.
“Kita duduk bersama dan (kerajaan negeri) sentiasa terbuka untuk menerima kritikan dan sebagainya asalkan ia adalah kritikan membina yang akhirnya kita dapat cari satu jalan dan kebaikan untuk semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi peranan kepada NGO bersama-sama turun padang untuk memastikan tiada rakyat yang terlepas pandang.
” Itu yang penting sebab kadang-kadang ada orang dia tak nak bagitahu (masalah) jadi maklumat tak sampai (kepada kerajaan negeri).
“Jadi melalui NGO ini kita memastikan semua pihak tanpa kira latar belakang agama, bangsa, kaum mahupun ideologi politik dapat kita bantu,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA