KEMAMAN – Setiap hujung tahun musim Monsun Timur Laut akan hadir bagi melengkapkan rutin alam yang kebiasaannya akan berlaku kemusnahan dengan terjadinya angin kencang, lebihan taburan hujan yang mengakibatkan banjir di sesetengah tempat.
Itu adalah lumrah alam, mahu atau tidak ia tidak dapat dihalang namun ia boleh diuruskan dengan baik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dengan mengadakan persiapan yang lebih awal.
Justeru itu, Pejabat Daerah Kemaman semalam telah mempengerusikan siri mesyuaratnya yang disertai oleh pelbagai agensi berkaitan bagi mengurus dan menyelaras persiapan bagi menghadapi banjir di sektor Kijal yang diketuai oleh Engku Mohd Firdaus Engku Alam pada tahun ini.
Pengarah Khidmat Malaysia Kijal, Zawawi Mohamed ketika ditemui di Kompleks Paya Lasir, Kijal semalam mengharapkan agar banjir pada kali ini dapat diuruskan pada tahap yang terbaik dengan mengambil pengajaran pada tahun lepas.
“Saya mengharapkan supaya banjir pada tahun ini dapat ditangani dengan lebih baik dengan mengambil pengalaman pada tahun yang sudah.
“Insya-Allah, dengan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat akan menghasilkan satu gerak kerja yang terbaik dalam membantu mangsa semasa dan selepas banjir pada kali ini,” katanya.
Zawawi juga menegaskan bahawa setiap orang perlu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan kerja-kerja menyelamat ketika banjir.
“Apa yang penting adalah setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa perlu dipatuhi sepenuhnya oleh mereka, seperti arahan berpindah dan sebagainya,” ucapnya.
Sumber: TRDI NEWs