Nak cantik akhirnya derita…

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Teruja untuk kelihatan cantik, seorang wanita akhirnya berdepan dengan masalah kulit dan berisiko menghidap penyakit buah pinggang selepas menjalani rawatan kecantikan menerusi individu yang tiada kelayakan.

Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan dan berusia 20-an pada mulanya ditawarkan rawatan suntikan pemutihan kulit oleh suspek yang juga saudara wanita itu sendiri pada Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek mengaku mempunyai kelayakan serta pengalaman untuk menjalankan rawatan itu dan mendakwa kakitangan salah sebuah pusat rawatan kecantikan yang terkenal di ibu negara.

“Dalam tempoh dua bulan pada awal tahun ini, mangsa sudah menjalani 17 rawatan di rumah suspek selepas dimaklumkan saudaranya itu mendapat bekalan ubat daripada pusat kecantikan berkenaan.

“Mangsa juga sudah membuat beberapa bayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘Face Jab’ dan ‘Dripping’,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Shafien berkata, mangsa mula mengalami masalah kulit yang teruk sejak Mac lalu

“Apabila mangsa mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan, dia dimaklumkan bahawa ‘rawatan’ kulit yang dilakukannya adalah salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang.

“Mangsa yang tidak berpuas hati segera menghubungi pusat rawatan kecantikan terbabit dan dimaklumkan suspek bukan kakitangan pusat berkenaan serta tiada kebenaran untuk melakukan rawatan kecantikan di luar premis,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya terus membuat laporan polis di Balai Polis Tumpat kerana mengesyaki ditipu suspek.

“Kes kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (KK) yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kami ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan jangan mudah mempercayai walaupun dakwaan itu datangnya daripada individu yang dikenali,” katanya.

Sumber: My Metro