Lagi 780.94 Hektar Hutan Dijadikan Hutan Tadahan Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju untuk mewartakan tambahan 780.94 hektar hutan sebagai Hutan Tadahan Air menjadikan keseluruhan Hutan Tadahan Air di negeri ini seluas 343,503.35 hektar.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan pewartaan di bawah Hutan Tadahan Air itu tiada sebarang aktiviti pengusahahasilan boleh dilakukan di dalam kawasan yang disifatkan sebagai sensitif alam sekitar ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 29 September lalu melibatkan 443.73 hektar dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Berkelah di Maran dan 337.21 hektar dalam HSK Lepar, di Kuantan.

“Bagi HSK Berkelah, 443.73 hektar ini merupakan tambahan kepada 2,134 hektar Hutan Tadahan Air sedia ada, menjadikan keseluruhan 2,577.73 hektar Hutan Tadahan Air dalam HSK ini.

“Bagi HSK Lepar pula, ini pertama kali kawasan Hutan Tadahan Air seluas 337.21 hektar bakal diwartakan,” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Beliau juga berkata, secara amnya kedua-dua HSK Berkelah dan Lepar adalah berkeluasan 62,749.45 hektar iaitu HSK Berkelah seluas 40,502.05 hektar dan HSK Lepar seluas 22,247 hektar dengan luas HSK di seluruh Pahang pula ialah 1.59 juta hektar.

“Adalah diharapkan dengan penambahan kawasan diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air ini, akan dapat terus memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar negeri ini,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA