Nelayan asing sengaja rosakkan bot

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Puteh: Mengharung ombak setinggi hampir tiga meter dalam keadaan hujan lebat antara cabaran terpaksa dilalui anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan ketika menunda dua bot nelayan asing yang ditahan ketika semasa merompak hasil laut negara, Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, anggotanya terpaksa mengambil masa lebih 40 jam untuk menunda kedua-dua bot berkenaan ke Jeti Maritim Tok Bali berikutan satu daripada bot tahanan mengalami kerosakan.

Katanya, bot itu dipercayai sengaja dirosakkan untuk menyukarkan pihak berkuasa menundanya ke jeti.

Beliau berkata, dua bot nelayan asing Vietnam itu ditahan ketika menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kelantan pada jarak kira-kira 114 dan 115 batu nautika daripada Muara Tok Bali.

“Penahanan dilakukan anggota yang membuat rondaan Op Kuda Laut Kapal Maritim (KM) Tok Bali pada 6.39 petang.

“Kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memintas serta menahan kedua-dua bot ini, namun apabila berjaya dirapati kedua-dua bot cuba mengalihkan haluan menuju ke sempadan perairan Vietnam.

“Tetapi, ia berjaya dipintas dan ditahan di kedudukan kira-kira 13.5 batu nautika daripada sempadan perairan Vietnam,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.

Khairun Dalilah berkata, pemeriksaan ke atas bot pertama yang ditahan pada 6.54 petang mendapati ia dikendalikan tiga kru termasuk tekong, manakala bot kedua ditahan jam 7.09 petang dikendalikan 16 kru termasuk tekong.

“Kesemua yang ditahan termasuk tekong dan kru adalah warganegara Vietnam berusia antara 20 hingga 48 tahun termasuk dua remaja berusia 14 dan 17 tahun.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu mendapati tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 selain kesemua kru termasuk tekong juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan termasuk dua bot, hasil ikan seberat 500 kilogram (kg), bekalan diesel sebanyak 6,000 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama disebabkan gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel ketika memasuki perairan perikanan Malaysia.

Katanya, jika disabitkan di atas kedua-dua kesalahan itu, boleh didenda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Kesemua 19 tahanan kru warga Vietnam ini ditempatkan di bilik tahanan sementara selepas disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian calitan yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin (kanan) bersama dengan Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Tok Bali, Leftenan Komander Maritim Mohd Sopian Mhd Nasir (kiri)  memeriksa nelayan warga asing  Vietnam bersama hasil tangkapan pada dua buah bot nelayan yang dirampas di muara Tok Bali ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan  di perairan Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin (kanan) bersama dengan Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Tok Bali, Leftenan Komander Maritim Mohd Sopian Mhd Nasir (kiri) memeriksa nelayan warga asing Vietnam bersama hasil tangkapan pada dua buah bot nelayan yang dirampas di muara Tok Bali ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sumber: MY Metro