Kawasan Pedalaman Tidak Dipinggir Kerajaan Negeri Untuk Nikmati Capaian Internet

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT : Kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam meningkatkan kebolehcapaian internet di kawasan luar bandar membuktikan bahawa penduduk di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan daripada pembangunan teknologi.
 
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badrddin berkata, kawasan Dewan Negeri Tahan merupakan antara lokasi yang luas dan besar di negeri Pahang dan terdapat beberapa kawasan pedalaman yang menghadapi kesukaran mendapat liputan internet.
 
“Usaha kerajaan negeri bersama SKMM yang tidak meminggirkan kawasan Dun Tahan dan sudah tentu memberikan satu kebaikan dan kelebihan kepada penduduk di Dun Tahan yang mana kawasannya luas di Pahang dan ada beberapa kwsan pedalaman dan membuktikan kawasan pedalaman di Pahang tidak diabaikan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas mengiringi Pengerusi SKMM, YBrs Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang melakukan lawatan kerja ke beberapa kampung di Hulu Tembeling, Jerantut.
 
Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Mat Daling, Encik Wan Mohd Sahaimi Wan Ishak berkata, beliau mewakili penduduk kampung amat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran penduduk mendapatkan liputan internet di kampung mereka.
 
“Saya harap bagi pihak penduduk di sekitar Bukit Mat Daling dan khasnya Ulu Tembeling diminta bersabar di mana kerajaan negeri dan SKMM telah berusaha sedaya upaya untuk menjayakan program ini jadi saya minta penduduk bersabar semoga di hujungnya nanti ada cahaya yang terang untuk penduduk Bukit Mat Daling,” katanya.
 
Jelasnya, menerusi usaha dan inisiatif daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan negeri akan dapat memberi manfaat kepada penduduk di luar bandar dalam pembangunan internet jalur lebar.

Sumber: PAHANG MEDIA