Ops Kuda Laut rampas 149 bot nelayan asing

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 149 bot dengan nilai keseluruhan lebih RM224 juta di perairan negara melalui Ops Kuda Laut bermula Jun tahun lalu sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, seramai 1,516 nelayan asing ditahan dan 90 peratus daripadanya adalah warga Vietnam.

Katanya, sebelum ini APMM bertindak melalui Ops Naga yang diperkenalkan pada tahun 2019 dengan penahanan 303 buat bot membabitkan tangkapan lebih 2,000 nelayan asing dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM373 juta.

“Bagaimanapun, ia digantikan dengan Ops Kuda Laut apabila mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangkap nelayan asing selepas terpaksa berhenti untuk berbuat demikian akibat pandemik wabak Covid-19 pada Mac tahun lalu.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga pihak kami mencapai sasaran dalam memastikan sempadan perairan negara terkawal selain tidak ada kecurian hasil laut negara.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha anggota yang bertugas di perairan negara selain mendapat kerjasama pelbagai agensi penguat kuasan lain, begitu juga dengan bantuan daripada nelayan tempatan yang menyalurkan maklumat,” katanya dalam sidang media di Pusat Tahanan Vesel (PTV)Maritim Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata, PTV Kelantan menempatkan 21 buat bot tahanan membabitkan 20 daripadanya adalah bot nelayan asing, manakala sebuah lagi milik nelayan tempatan.

Tempat simpanan bot nelayan asing yang ditahan sepanjang operasi yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tempat simpanan bot nelayan asing yang ditahan sepanjang operasi yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

“Sebenarnya, jumlah berkenaan telah berkurangan berbanding sebelum ini kerana sebanyak enam bot nelayan asing Vietnam sudah ditenggelamkan sebagai tukun tiruan, manakala dua lagi dimusnahkan sepenuhnya.

“Saya difahamkan, dalam masa terdekat empat bot lagi akan dilupuskan, bagaimanapun kesemua bot ini berada di jeti kontraktor untuk kerja ubah suai bagi memudahkan proses pelupusan,” katanya.

Jelasnya, lawatan berkenaan sebagai salah satu komitmen beliau dalam membanteras isu pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam ke perairan Zon Ekonomi Ekslusif Negara melalui pengoperasian Ops Kuda Laut.

Sumber: My Metro