MARANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya menumpaskan kegiatan membungkus semula minyak masak bersubsidi di sebuah premis di Binjai Rendah, Bukit Payung di sini hari ini.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi jam 11 pagi itu dijalankan empat penguatkuasa KPDNHEP, selepas siasatan awal dan risikan yang dijalankan selama seminggu.
Katanya, dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 3,700 liter minyak masak bersubsidi, dan dua buah lori dirampas manakala penyelia dan pekerja ditahan untuk disoal siasat.
“Siasatan mendapati kilang itu beroperasi sejak Ogos lepas dan membungkus semula minyak masak bersubsidi sebelum diedarkan ke kedai-kedai di sekitar daerah itu.
“Kita dapati sindiket memotong paket satu kg dan dipindahkan ke dalam sebuah tangki skid dalam premis sebelum diproses semula dalam pek pembotolan (tidak bersubsidi) tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Ia bertujuan untuk mengaut keuntungan tinggi yang tidak sah melalui penjualan minyak masak berbotol yang lebih tinggi harganya berbanding minyak masak paket satu kg,”katanya kepada pemberita.
Menurutnya, kesemua barangan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM80, 400.
Beliau berkata, dalam serbuan ini juga, pihaknya menahan lima lelaki tempatan berumur 20 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
“Premis ini juga tidak memiliki apa-apa kebenaran bagi menyimpan atau berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak,”jelasnya lagi.
Tambahnya, siasatan juga akan dijalankan ke atas pihak yang membekal minyak bersubsidi kepada premis tersebut.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata Shaharuddin.
Sumber: TRDI News