Terus Patuh SOP Walau Berada Di FASA 4 – YAB MB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BENTONG : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan rakyat di negeri ini supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun Pahang akan beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bermula esok.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, ini kerana, beliau tidak menolak kemungkinan negeri itu boleh kembali ke fasa-fasa sebelumnya jika SOP tidak dipatuhi.

“Apabila beralih ke Fasa Empat bermula esok (Jumaat), terdapat banyak kelonggaran seperti dalam sektor ekonomi, perniagaan, perhimpunan, sukan dan sebagainya.

“Jadi ini satu perkara amat bagus untuk Pahang terutama dari segi ekonomi kerana sekatan telah dikurangkan. Bagaimanapun pematuhan SOP perlu dipatuhi, penjarakan fizikal, pemakaian pelindung muka namun kalau boleh elakkan ke tempat-tempat ramai dan sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian penyerahan Jalan Central Spine (CSR) iaitu Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik di Bentong dan Seksyen 5D Bentong bypass sempena pembukaan Jalan Central Spine (CSR) Jajaran Bentong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menegaskan lagi, peralihan fasa sebelum ini boleh berlaku memandangkan jangkitan COVID-19 boleh berlaku pada bila-bila masa.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein mengumumkan Pahang beralih ke Fasa 4 bermula 8 Oktober selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber: PAHANGMEDIA