Pemegang rekod dunia mati dibunuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Nairobi: Pemegang rekod dunia larian jarak jauh Kenya, Agnes Tirop ditemui mati dengan kesan tikaman di perut kerana dipercayai dibunuh, jelas pegawai persatuan olahraga negara berkenaan.

Polis berkata mereka kini memburu suaminya berkaitan insiden terbabit yang berlaku di kediaman Agnes dekat barat Kenya.

Agnes, 25, seorang atlet yang sedang meningkat naik, adalah pemenang dua pingat gangsa acara 10,000 meter (m) dan juara dunia merentas desa 2015 selain menduduki tempat keempat acara 5,000m pada Olimpik Tokyo tahun ini.

Pada bulan lalu dia memecahkan rekod dunia 10 kilometer (km) wanita di Road to Records Event dekat Jerman dengan catatan 30 minit 01 saat (s), kurang 28s daripada rekod sebelumnya jelas Persatuan Olahraga Kenya.

Agnes juga mencipta sejarah pada 2015 apabila bergelar atlet kedua termuda menang dalam acara merentas desa wanita selepas Zola Budd.

“Kenya kehilangan permata yang juga seorang daripada atlet paling meningkat dalam arena antarabangsa, terima kasih atas persembahan baiknya di trek.

“Kami masih menanti butiran lanjut mengenai kematiannya,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Komander polis Keiyo Utara, Tom Makori memberitahu AFP bahawa suami Agnes, Emmanuel Rotich adalah ‘orang yang disyaki’ dalam kes itu dan menjadi sasaran buruan polis.

“Dia boleh memberitahu kami apa yang terjadi. Suspek membuat panggilan kepada ibu bapa Agnes yang mengatakan bahawa dia sudah melakukan sesuatu yang salah. Jadi kami percaya dia tahu apa yang berlaku,” kata Makori.

Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta turut mengucapkan takziah kepada atlet muda berkenaan dan menggesa polis mengesan mereka yang terbabit dengan insiden itu.

Sumber: My Metro