Penggiat Pelancongan Pahang Siap Sedia Terima Pelancong Luar Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB, 15 OKTOBER 2021 : Kebanyakan penggiat pelancongan di negeri ini telah bersiap sedia untuk menerima kemasukan pelancong dari luar negeri ini selepas sektor pelancongan ditutup sejak setahun lalu hingga mengakibatkan pemain industri itu berdepan situasi sukar.

Pengusaha Chalet MamaPapa di Janda Baik, Encik Mohamad Yusabanan Yusoh

Pengusaha Chalet MamaPapa di Janda Baik, Encik Mohamad Yusabanan Yusoh berkata, pihaknya tidak sabar menerima kemasukan pelancongan dari luar negeri ini dan mengembalikan kemeriahan sektor pelancongan dalam negeri yang sepi sejak diarah penutupan operasi akibat pandemik COVID-19 pada tahun lalu.

“Maklumat yang saya terima daripada rakan-rakan dan team bahawa sambutan amat menggalakkan, daripada semalam (selepas pengumuman kebenaran rentas negeri) hingga hari ini tidak berhenti menerima whatsapp dan panggilan daripada tetamu luar dari Pahang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah bersedia dengan pelancongan norma baharu yang menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebagai syarat pengoperasian sektor pelancongan.

Encik Mohamad Yusabanan menjangkakan sambutan luar biasa daripada pengunjung yang berhasrat membawa keluarga untuk menikmati keindahan alam semulajadi di lokasi percutian seperti Janda Baik, Bentong.

Resort MS Chemerkau Chekas Chalet di Ulu Dong, Raub

Sementara itu, Pengusaha Resort MS Chemerkau Chekas Chalet di Ulu Dong, Raub, Puan Munirah Mustapa juga turut menerima sambutan baik daripada pengunjung bukan sahaja dari dalam negeri Pahang tetapi juga dari luar Pahang.

Pengusaha Resort MS Chemerkau Chekas Chalet di Ulu Dong, Raub, Puan Munirah Mustapa

Dia juga telah bersiap sedia dengan segala SOP apabila telah mempraktikkan kepada pengunjung dari dalam negeri ini sebelum ia dibuka kepada pengunjung negeri lain tidak lama lagi.

“Kita telah pun mempraktikkan SOP percutian kepada pengunjung di dalam Pahang sejak beberapa minggu lalu dan saya pasti ianya dapat digunapakai kepada pengunjung luar dan kami telah bersedia menerima pelancongan dari negeri-negeri lain serata Malaysia,” katanya.

Kesemua penggiat dan pemain industri pelancongan di Pahang telah bersiap sedia daripada segi kemudahan infrastruktur dan SOP norma baharu bagi memastikan sektor tersebut dapat kembali dihidupkan dan beroperasi seperti sedia kala.

Sumber: PAHANGMEDIA