KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan kuarantin wajib atau memendekkan tempoh tersebut kepada pelancong asing yang divaksinasi sepenuhnya dari negara-negara tertentu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, pertimbangan tersebut akan dibuat berdasarkan program Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin yang telahpun dilaksanakan oleh beberapa negara lain.
“Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara, yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi, terutama dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa dan peruncitan dan sebagainya.
“Ini juga mempermudahkan urusan pelawat perniagaan serta pelawat sosial untuk datang ke negara kita.
“Saya berharap proses pembukaan sempadan itu yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara, dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, pada Jumaat.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah individu penting dalam indstri dan beberapa pemimpinp pembangkang termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Presiden Upko Tan Sri Bernard Giluk Dompok.
Muhyiddin dalam pada itu berkata pembukaan pintu sempadan negara dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pembukaan akan dilakukan bagi mereka yang diberi vaksin sepenuhnya dengan sijil vaksin digital yang diiktiraf.
“Mungkin kita mempunyai syarat ujian calitan sebelum berlepas tetapi kita sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan kuarantin wajib, atau mengenakan tempoh yang lebih pendek.
“Ini sedang dibincangkan dan akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.
Mesyuarat dimulakan dengan taklimat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai indikator Covid-19, di mana beliau berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai.
“Ini khususnya dari segi penurunan kes positif harian, penggunaan wad katil unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19, serta kadar vaksinasi populasi dewasa,” katanya.
Sumber: Mstar