Pasangan kekasih dikompaun, rentas negeri tanpa lengkap dua dos vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan polis dalam Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 2 yang dijalankan serentak seluruh Kelantan kelmarin.

Dua individu dipercayai pasangan kekasih dikompaun RM2,000 setiap seorang atas kesalahan tidak lengkap dua dos vaksin sebelum merentas negeri.

Pasangan berusia 44 dan 39 tahun itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, Jeli, dekat sini, pada jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kedua-duanya dalam perjalanan dari Perak untuk ke Pasir Mas dengan alasan pulang ke kampung untuk berkahwin.

“Ketika diminta menunjukkan sijil vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera, mereka gagal mengemukakan bukti itu dan mengeluarkan kompaun RM2,000 setiap seorang.

“Mereka juga diarahkan berpatah balik namun berkeras untuk meneruskan perjalanan sebelum akhirnya akur dengan arahan pihak berkuasa (patah balik),” katanya kepada pemberita ketika melakukan pemantauan di Pantai Geting di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.

Shafien berkata, sebanyak 10 lagi kompaun dikenakan kepada pengunjung Bukit Panau, Tanah Merah, dekat sini ketika menjalankan aktiviti pendakian di lokasi riadah itu pagi tadi atas kesalahan sama.

“Nasihat kepada semua penduduk, walau sudah dibenarkan rentas negeri serta daerah dan boleh berkunjung di tempat awam, SOP tetap kena patuh.

“Sebanyak 154 pasukan pemantau merangkumi semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turun memantau termasuk ketua polis daerah masing-masing,” katanya sambil memberitahu dua unit dron digunakan untuk membuat pemantauan di Pantai Geting dan Pantai Irama, Bachok.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kemasukan kenderaan ke negeri ini agak tinggi daripada beberapa negeri di bahagian utara semenanjung iaitu menggunakan SJR Batu Melintang, Jeli.

“Kita dapati antara 15 hingga 20 peratus kenderaan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak memasuki negeri ini berbanding negeri ini.

“Ia mungkin disebabkan hari cuti negeri berkenaan sama dengan Kelantan, tambahan pula Selasa ini juga cuti umum (Maulidur Rasul) jadi mereka terus ambil peluang (balik kampung),” katanya.

DATUK Shafien Mamat, membuat pemantauan sempena pelaksanaan Op Pematuhan SOP COVID-19. FOTO Siti Rohana Idris
DATUK Shafien Mamat, membuat pemantauan sempena pelaksanaan Op Pematuhan SOP COVID-19. FOTO Siti Rohana Idris

Sumber: My Metro