Tunggu laporan lengkap pencerobohan Hutan Simpan Ulu Galas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Perhutanan negeri berhubung pencerobohan yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Ulu Galas dekat Kampung Pulai, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini pihaknya belum lagi menerima laporan lengkap, melainkan maklumat awal yang mengesahkan terdapat pencerobohan membabitkan penanaman kebun durian dan getah secara haram.

“Mereka sudah menceroboh kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan menanam secara haram di tanah tersebut, malah tindakan penguatkuasaan juga sudah dibuat.

“Kawasan hutan terutamanya hutan simpan tidak boleh dimasuki secara bebas dan ada peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi, selain memerlukan kebenaran bagi sesiapa sahaja yang hendak memasuki kawasan itu.

“Lebih-lebih lagi yang menjadi kesalahan besar adalah menanam atau berkebun di kawasan yang dilarang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

DATUK Mohd Amar Nik Abdullah (tengah) menyerahkan keris miliknya yang dilelong kepada pembeli. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah (tengah) menyerahkan keris miliknya yang dilelong kepada pembeli. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Media sebelum ini melaporkan lebih 30 pengusaha kebun durian Musang King dan getah terkedu apabila diminta mengosongkan tapak seluas 90 hektar selepas 25 tahun mengusahakannya.

Dalam notis pengosongan bertarikh 30 September 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kelantan (JPNK), pekebun itu didakwa sudah meneroka Hutan Simpan Ulu Galas secara haram dan dikehendaki mengosongkannya dalam masa 14 hari.

Pengarah JPNK Abdul Khalim Abu Samah dilapor berkata, setakat ini arahan pengosongan itu muktamad, namun isu berkenaan akan dibincangkan lebih lanjut dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Sumber: My Metro