MOHAMED Salah membuktikan bahawa sentuhannya lebih berbisa apabila meledak hatrik ketika membantu Liverpool membenam cabaran Manchester United 5-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford, awal pagi Isnin.
Malah empat gol babak pertama diikuti satu gol babak kedua sudah cukup menceritakan bertapa longlainya pertahanan The Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjaer ketika membenarkan The Reds didikan Jurgen Klopp berpesta gol.
Tampil dengan misi mengejar pendahulu liga Chelsea, anak buah Klopp terlebih dulu di depan hasil jaringan Naby Keïta minit kelima sebelum Diogo Jota melebarkan jaringan pada minit ke-13′ untuk kedudukan 2-0.
Pada minit ke-38′, giliran Salah mencatat nama selaku penjaring The Reds selepas menyudahkan hantaran Keïta diikuti satu lagi gol pada penghujung babak pertama setelah menerima hantaran Jota untuk kedudukan 4-0 babak pertama.
Bersambung babak kedua, Liverpool terus garang apabila Salah tampil meledak gol kelima Liverpool yang juga merupakan hatrik selepas menyudahkan hantaran Jordan Henderson pada minit ke-50.
Pada minit ke-60, Manchester United terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak mereka,
Paul Pogba dilayangkan kad merah selepas mengasari Keïta.
Keputusan di Old Trafford itu menyaksikan Liverpool membawa pulang tiga mata sekali gus menjadikan 21 mata manakala Manchester United pula kekal 14 mata selepas masing-masing mengharungi sembilan perlawanan.
SUMBER: Sinar Harian