TIOMAN : Tiga buah bot nelayan asing dianggarkan bernilai RM4.5 juta telah dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan di sekitar Pulau Tioman.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Haji Abu Hassan berkata, pelupusan untuk dijadikan tukun tiruan ini adalah pertama kali dilakukan di perairan Pulau Tioman.
“Ketiga-tiga bot ini telah pun dilucut hak di atas kesalahan menceroboh perairan kita dan juga melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran sah di perairan negeri ini tahun lepas.
“Setelah mahkamah memutuskan kesalahan dan juga melucutkan hak bot nelayan ini, pihak kami memutuskan untuk melupuskan bot-bot ini dengan cara menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan.
“Dengan pelupusan tiga bot nelayan asing Vietnam yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta ini juga dapat mengurangkan kesesakan bot tahanan asing yang ditahan di Jeti Pusat Tahanan Vesel,” katanya.
Turut hadir menyaksikan pelupusan kesemua bot tersebut pada Program Pelupusan Vesel Lucut Hak Maritim Negeri Pahang, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.
Menurut beliau lagi, terdapat sembilan buah bot nelayan asing di dalam tahanan APMM dalam proses pelupusan dan sedang menunggu perintah mahkamah bagi tujuan lucut hak.
Tambah beliau lagi, proses menenggelamkan bot ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bagi memastikan kesesuaian lokasi.
“ISMAT juga bekerjasama sepenuhnya dalam memastikan lokasi bot ini ditenggelamkan sesuai dan tidak menjejaskan biodiversiti marin selain dapat memberikan manfaat kepada nelayan pesisir pantai.
“Tapak tukun tiruan ini juga akan dijadikan habitat baharu ekosistem marin dan peranti pemuliharaan biodiversiti marin serta tempat perlindungan dan sumber makanan hidupan laut,” katanya.
Sementara itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata pelupusan bot ini juga dapat menarik lebih ramai pelancong terutamanya peminat aktiviti air seperti skuba apabila tukun ini menjadi habitat kepada pelbagai spesis hidupan air.
Sumber: PAHANGMEDIA