Pasir Mas: Sekumpulan pesara yang juga rakan sekolah pada suatu ketika dahulu mengambil inisiatif menjalankan kerja kebajikan bersama bagi mengeratkan semula hubungan persahabatan yang pernah terputus seketika.
Mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang seperti pesara guru, pensyarah, jurutera, pegawai perubatan, kontraktor dan ahli perniagaan adalah pelajar Batch 1957 di Sekolah Menengah Lemal (SML) yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja.
Lebih 80 ahli bersatu di bawah kumpulan Alumni SML bagi menyemarakkan perhubungan mereka dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk membantu asnaf memerlukan selain membina atau membaik pulih kediaman daif di seluruh negeri.
Pengerusi Kumpulan Alumni SML, Mohd Shukri Ibrahim berkata, bagi memastikan kumpulan itu sentiasa aktif, ahli diwajibkan untuk membayar RM10 sebulan untuk dimasukkan ke dalam tabung kumpulan.
Beliau berkata, mereka memfokuskan kepada pelbagai aktiviti kebajikan termasuk khairat kematian serta tabung rumah asnaf.
“Setakat ini, kami sudah membina dan membaik pulih beberapa kediaman daif di pelbagai jajahan di Kelantan hasil tabung berkenaan.
“Untuk kes terbaru, kami membaik pulih rumah usang serta membina tandas milik seorang pemuda yang hidup sebatang kara di Kampung Tok Sangkut, di sini dan proses pembinaan dilakukan sendiri ahli kumpulan yang berkelapangan pada setiap hujung minggu.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja memberi peluang untuk kami membuat kebaikan, malah secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sahabat lama sambil mengenang kembali zaman di waktu persekolahan,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan tandas asnaf di Kampung Tok Sangkut, di sini, semalam.
Projek itu turut mendapat kerjasama Yayasan Raja Shamri YRS yang turut dihadiri wakilnya, Mohammad Azhan Shamsu Anuar.
Mohd Shukri berkata, mereka turut tidak melepaskan peluang membantu petugas barisan hadapan sepanjang pandemik Covid-19 dengan menyampaikan sumbangan pek makanan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka.
“Sebenarnya, tidak semua ahli alumni ini berada di Kelantan, sebaliknya berada di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang dan Perak kerana memiliki kerjaya dan kehidupan sendiri.
“Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi hari ini kami dapat bersatu melalui kumpulan WhatsApp, seterusnya merancang pelbagai projek amal kebajikan selain turut berkolaberasi dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).
“Kami akan terus membuat kebaikan dengan membantu mereka yang memerlukan melalui kumpulan ini, tambahan pula selain mengejar saham di dunia, akhirat wajib dicari,” katanya yang juga pesara guru besar.
Sumber: My Metro