Program Rumah Rakyat Pahang Diperluas Kepada Hakmilik Tanah Dalam Kawasan Felda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang bersetuju meluaskan pengenalan dan pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk golongan memerlukan, bagi turut meliputi tanah hakmilik dalam kawasan Rancangan Tanah FELDA di Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, matlamatnya ialah untuk membantu golongan memerlukan dalam kalangan generasi kedua FELDA memiliki rumah, di atas tanah hakmilik ayah atau ibu yang merupakan generasi pertama dalam kawasan-kawasan rancangan tanah berkenaan.

Katanya, dengan ini, rumah RRP bernilai RM65,000 sebuah dan diberi percuma, akan dibina di kawasan sama dengan rumah ayah atau ibu mereka.

Bagaimanapun katanya, keizinan daripada ayah serta ibu serta adik-beradik lain diperlukan terlebih dahulu.

Jelasnya lagu, keputusan mesra generasi kedua ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu, 27 Oktober lepas. Ia satu lagi usaha Kerajaan Negeri dalam membantu generasi kedua FELDA memiliki rumah.

Semakan undang-undang mendapati keputusan ini tidak bercanggah dengannya, manakala FELDA pula tidak mempunyai sebarang halangan kepada pengenalan dan pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan-kawasan terlibat kelak, diminta bertindak memudahcarakan agar program ini berjalan lancar dan berkesan serta memanfaatkan pihak penerima.

Pegawai-pegawai Daerah pula – sepertimana peranan mereka dalam mengenalpasti dan memilih golongan layak menerima RRP di kawasan-kawasan lain; turut dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan memilih penerima RRP dalam Rancangan Tanah FELDA ini.

Sumber: PAHANGMEDIA