Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Penutupan sementara semua Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri, kepada pengunjung oleh Jabatan Perhutanan Terengganu, berkuatkuasa hari ini sehingga akhir Februari depan.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Roslan Rani, berkata penutupan tersebut dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ke atas pengunjung berikutan musim tengkujuh di negeri ini.

“Penutupan selama empat bulan sehingga 28 Februari depan itu susulan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air.

“Aktiviti seperti rekreasi, pendakian, pacuan empat roda dan sebagainya dalam hutan simpan kekal juga tidak dibenarkan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, individu yang melanggar arahan itu boleh didakwa mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-Pakai) 1986 dan jika didapati bersalah, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jabatan Perhutanan negeri akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasa lain untuk menjalankan operasi pemantauan bersepadu secara berterusan bagi mencegah aktiviti pencerobohan hutan,” katanya.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri melaporkan beberapa kawasan di bahagian utara iaitu di Besut dan Setiu dijangka dilanda banjir selepas menerima taburan hujan yang lebih tinggi ketika musim tengkujuh.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pada awal November ini hingga Mac tahun depan.

“Kita jangka Terengganu akan mengalami antara empat hingga enam luruan monsun yang akan membawa kepada hujan lebat berterusan.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang, berkemungkinan risiko kejadian banjir akan meningkat di kawasan yang rendah,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN