Hospital Maran Bernilai RM200 Juta Berada Dalam Fasa Awal Pembinaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : Pembinaan Hospital Maran yang bernilai RM200 juta kini berada di dalam fasa awal pembinaan setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 1, YB. Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali berkata perbelanjaan pembangunan ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

“Hospital ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam perbelanjaan pembangunan berjumlah RM2.41 bilion untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini di bawah Rolling Plan 4 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Daripada peruntukan yang diluluskan tersebut, pelbagai projek pembangunan infrastruktur telah disenaraikan. Ini termasuklah sebanyak RM200 juta bagi pembinaan Hospital Maran dan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Raub bernilai RM6.98 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Jenis 7 Dengan Kuarters Kuala Tekal, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Jenis 7 Dengan Kuarters Kuala Tekal, di Kerdau hari ini

Majlis yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Beliau berkata, sebanyak RM4.7 juta telah disalurkan bagi pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal yang mula dibina pada 30 Januari 2019.

“Klinik Kesihatan Kuala Tekal ini mempunyai kemudahan-kemudahan yang jauh lebih baik dari klinik yang lama.

“Faktor keluasan dan peralatan yang baru diharap meningkatkan tahap keselesaan para pesakit ketika datang mendapatkan rawatan di sini.

“Buat masa ini, jumlah penjawatan di klinik ini adalah seramai 23 orang dengan pengisian seramai 16 anggota dan InsyaAllah jumlah ini akan ditambah dalam masa terdekat bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA