SETIAP kali tiba musim hujan, suhu bukan sahaja menjadi lebih dingin tetapi ia turut datang dengan bermacam masalah seperti banjir, dinding rumah menjadi lembab sehingga tumbuh kulat, kebocoran atap dan sebagainya.
Malah, musim hujan ini juga akan mempengaruhi keadaan perabot, pakaian dan barangan elektrik terutamanya bagi yang tinggal di kawasan berdekatan laut dan sungai.
Tetapi jangan bimbang kerana beberapa persediaan pencegahan dapat membantu menghindari pelbagai kesan ketika musim hujan.
Berikut adalah lima tip yang boleh membantu anda bersedia untuk menghadapi ‘isu-isu’ yang mungkin timbul semasa musim hujan.
1. Menjaga pakaian
Pakaian perlu dicuci, dikeringkan dan disimpan dengan baik sepanjang tahun terutamanya pada musim hujan. Bagaimanapun sepanjang tempoh ini, mungkin kita memerlukan tempoh lebih lama untuk mengeringkan pakaian.
Perkara ini turut membuatkan pakaian yang dijemur akan berbau hapak kerana tidak dapat cahaya matahari yang maksimum.
Untuk menghindarkan bau hapak itu, tambahkan sedikit cuka ketika mencuci pakaian. Ia dapat membantu menghilangkan bau ketika pakaian tidak dapat mengering dengan baik.
2. Menyimpan makanan
Cara penyimpanan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana cuaca yang lembab mudah membuatkan makanan anda cepat basi dan berkulat.
Gunakan bekas kedap udara yang dapat menyimpan makanan lebih lama. Alas juga bekas dengan tisu kering bagi membolehkan ia menyerap kelembapan berlebihan akibat suhu yang rendah.
Bagi sayur-sayuran, balut dengan kertas surat khabar sebelum disimpan dalam peti sejuk bagi mencegah kelembapan berlebihan.
3. Menjaga perabot
Perabot berasaskan kayu lebih cepat rosak apabila udara menjadi lembab selain bakteria dan kulat lebih mudah tumbuh.
Bagi mencegahnya anda boleh menggunakan kapur, cengkih atau daun mimba dan diletakkan di dalam almari atau berhampiran perabot kayu. Bahan-bahan ini dapat menyerap kelembapan.
4. Menghalau serangga
Serangga mudah membiak pada musim hujan dan ada di antaranya memiliki kemampuan merosakkan perabot, dinding dan sebagainya.
Sepanjang musim hujan ini, jangan biarkan air bertakung dalam bekas di luar rumah yang boleh menyebabkan nyamuk membiak apatah lagi ketika ini kes demam denggi semakin meningkat.
5. Mencegah kulat
Kulat yang menyebabkan kesan kotor dan kehitaman pada dinding seringkali muncul pada dinding ketika musim hujan. Selain menyakitkan mata, ia juga mengeluarkan bau busuk dan tidak baik untuk kesihatan.
Cara mencegah perkara itu adalah dengan menggunakan cecair peluntur bagi menghilangkan kulat pada dinding. Peluntur juga dapat membantu membunuh bakteria dan kulat.
Sumber: Mstar