BENTONG : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya pembangunan semula Kampung Baru Karak dikaji secara menyeluruh dan holistik.
Baginda bertitah seluruh kawasan Kampung Baru Karak ini perlu dikaji semula terutamanya melibatkan segi keselamatan pada masa akan datang.
“Di sini, kalau boleh juga untuk fikir, untuk kaji supaya seluruh kawasan ini perlu diperlihat semula, dikaji semula dari segi keselamatan.
“Dan juga bagi projek ini, mungkin dari masa akan datang, satu kajian menyeluruh, yang holistik dilakukan supaya kawasan ini dapat dibangunkan dengan sebaik yang mungkin.
“Dengan adanya aspek-aspek keselamatan yang diambil kira khususnya berkaitan dengan jarak rumah yang dekat, bekalan elektrik yang mencukupi, dan air untuk kegunaan hydrant water untuk bomba dan kalau dimasa kecemasan ini dapat diambil lebih terperinci,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli menyantuni mangsa kebakaran di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) di Kampung Baru Karak di Bentong hari ini.
Turut bercemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak, YH. Dato’ Sri Liow Tiong Lai; dan Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.
Baginda turut bertitah supaya Kerajaan Pahang dapat memberi pertimbangan daripada segi peraturan pembangunan semula kawasan yang musnah dalam musibah kebakaran ini.
“Tadi saya dengar sedikit rayuan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat tentang peraturan-peraturan, saya percaya Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan peraturan yang sedia ada.
“Kita tahu sejarah kawasan ini, dan sejarah bagaimana mereka di kawasan ini dan sudah pasti setiap inci tanah ini amar berharga kepada mereka dan keluarga, dan saya percaya mereka tidak mahu kehilangan rumah dan harta-harta di sini,” titah baginda.
Baginda dalam titahnya turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka serta mengambil suntikan vaksinasi COVID-19.
“Saya harap semua orang untuk jaga diri, dan ambil vaksin kerana vaksin ini merupakan penyelamat, dan ia telah terbukti. Dalam rekod, orang telah mengambil vaksin lebih selamat dari orang yang tidak divaksin. Sebagai Agong, saya nasihat semua kena ambil vaksin supaya kita dapat jaga orang-orang di sekeliling kita,” titah baginda.
Baginda turut melahirkan penghargaan kepada barisan petugas termasuklah Pegawai Daerah, bomba dan semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa kebakaran ini.
Baginda berdua berangkat tiba di Tapak Taklimat Bencana Kebakaran pada 10.19 pagi sebelum mendengar sembah taklimat berkenaan kejadian kebakaran oleh YH. Dato’ Mohd Zulkifli dan kemudiannya berkenan berangkat melawat tapak kebakaran.
Baginda berdua kemudiannya bercemar duli hadir ke Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) Kampung Baru Karak dan mendengar sembah taklimat cadangan pembangunan semula Kampung Baru Karak oleh YH. Dato’ Sri Liow Tiong Lai serta menyaksikan penyerahan sumbangan cek daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, IINFRA Sdn. Bhd. Ikhasas Group , dan Datuk Nelson Tan bagi pembangunan Kampung Baru Karak bernilai RM1.18 juta.
Sumber: PAHANGMEDIA