Baik pulih, bina rumah veteran siap tahun ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Machang: Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) memperuntukkan RM2.6 juta untuk pembinaan baharu dan baik pulih 100 unit rumah veteran ATM di seluruh negara, yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, ia membabitkan 72 unit kediaman yang dibaik pulih bernilai RM14,000 seunit serta 28 unit bina baharu bernilai RM70,000 seunit.

Katanya, inisiatif itu di bawah Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM itu terbuka kepada pesara tentera atau balu yang pendapatan isi rumah di bawah Garis Kemiskinan (PGK) ditetapkan.

“Selain itu pada bulan ini, Kementerian Pertahanan menambah peruntukan RM2.1 juta bagi menampung tambahan kos baik pulih sebanyak 150 unit rumah veteran lagi, kolaborasi antara JHEV ATM dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Dalam masa sama, beberapa inisiatif lain turut dirancang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf sosiaekonomi, penambahbaikan pengurusan kemudahan bantuan kebajikan, peningkatan kualiti hidup dan iktiraf jasa pejuang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Bina Baru Inisiatif Perumahan Veteran ATM Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 di Kampung Mata Ayer di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Dalam pada itu, Dzulkarnain meminta veteran ATM yang tidak berpencen dan masih belum berdaftar dengan pihaknya agar berbuat demikian bagi membolehkan penyaluran bantuan termasuk Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang diumumkan dalam Bajet 2022, baru-baru ini.

Katanya, ahli lama pula diminta mengemaskini maklumat peribadi diri.

“Sehingga kini, data kita menunjukkan terdapat 82,000 veteran ATM seluruh negara yang berdaftar,” katanya.

MOHAMMAD Ab Rahman (kiri) menyerahkan replika kunci kepada veteran ATM tidak berpencen, Mohd Nawawi Mustapha (tengah) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Bina Baru Inisiatif Perumahan Veteran ATM Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 di Kampung Mata Ayer. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHAMMAD Ab Rahman (kiri) menyerahkan replika kunci kepada veteran ATM tidak berpencen, Mohd Nawawi Mustapha (tengah) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Bina Baru Inisiatif Perumahan Veteran ATM Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 di Kampung Mata Ayer. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Sumber: My Metro