Tumpat: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 5,841 ekor ayam hidup yang dimuatkan dalam tiga lori, disyaki dibawa masuk secara haram dari Thailand.
Bekalan dianggarkan bernilai RM157,707 itu dipercayai diambil dari lokasi di Sungai Golok bersempadan daerah ini untuk pasaran negara.
Pegawai Pemerintah Medan Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota melakukan rondaan bermotosikal di sekitar Pengkalan Kubor menahan kenderaan berkenaan di lokasi berbeza mulai 3.20 pagi hari ini.
“Lori ditahan di Kampung Pisau Raut, Simpangan dan Kajang Sebidang, dengan keseluruhan 17,523 kilogram ayam hidup dijumpai dalam lori.
“Pemandu gagal mengemukakan dokumen dan permit sah untuk membawa masuk ayam berkenaan.
“Susulan itu tiga pemandu berusia 20 hingga 40 tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya ayam terbabit diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011.
Sumber: My Metro