Gaji minimum baharu bakal diumum tahun depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Perintah Gaji Minimum baharu dijangka diumumkan tahun depan selepas kajian mengenainya selesai akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata kajian mengenai gaji minimum itu sedang dilaksanakan dan dijangka selesai suku keempat tahun ini.

Katanya, kajian semula gaji minimum ini selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang mana ia perlu dikaji sekali dalam dua tahun.

“Ini kita tidak boleh ubah, kalau kita mahu ubah kena buat melalui Parlimen (kajian dua tahun sekali) ia bukan setahun sekali seperti Yang Berhormat Muar katakan tadi,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai semakan gaji minimum di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang menjelaskan bagi meningkatkan lagi kadar gaji minimum, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dipertanggungjawabkan membuat kajian.

Katanya, kajian itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kestabilan ekonomi, rangsangan Keluaran Dalam Negara Kasar, kos dan standard kehidupan rakyat.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.

Sumber: Berita Harian