KUANTAN : Seramai 1,199 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiapsiaga menghadapi dwi-bencana apabila seluruh negara bakal menghadapi musim Monsun Timur Laut ketika sedang bergelut menangani wabak pandemik COVID-19 dan juga bencana banjir.
Pengarah APM Pahang yang juga Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, bagi tujuan itu, pegawai dan anggota APM telah ditekankan aspek keselamatan ketika kerja-kerja menyelamat mangsa banjir dijalankan termasuklah pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE), pengasingan bot dan penjarakan sosial sepanjang proses pemindahan mangsa banjir dijalankan.
“Latihan simulasi telah dijalankan di mana latihan ulangkaji ini menekankan aspek keselamatan yang mana bukan sahaja pegawai dan anggota tetapi kepada penduduk yang diselamatkan.
“Seperti yang kita sedia maklum bahawa negeri dan negara kita menghadapi musim Monsun Timur Laut dalam keadaan dwi-bencana untuk menangani wabak pandemik COVID-19 dan juga banjir, jadi latihan itu juga menekankan aspek, jika mangsa atau penduduk yang dipindahkan disyaki menghidapi COVID-19, kaedahnya juga berbeza, dari segi pengasingan bot, penjarakan fizikal dan pemakaian PPE ketika proses pemindahan mangsa banjir dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, segala kelengkapan aset dan logistik berada dalam keadaan baik dan mencukupi malah kerja-kerja penyelenggaraan telah dibuat dua bulan lebih awal bagi memastikan semua kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan boleh diutilisasikan apabila berlakunya bencana banjir.
Beliau turut mengingatkan masyarakat dan komuniti yang berada di kawasan berisiko banjir, kawasan pedalaman dan kawasan rendah atau yang kerap dinaiki air supaya sentiasa bersiapsiaga dan peka dengan sistem amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) apabila air mencecah paras amaran atau bahaya.
Penduduk juga dinasihatkan supaya berkomunikasi bersama pemimpin tempatan untuk mengetahui tentang keadaan terkini bencana selain mengetahui lokasi pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) yang terhampir di kawasan masing-masing.
Sumber: PAHANGMEDIA