Ibnu Yunus Ilmuan Genius Dalam Bidang Astronomi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Mendengar sahaja nama Ibnu Yunus disebut, pasti ramai yang terpaku dengan kehebatan ilmuan Islam itu dalam bidang astronomi dan matematik. Kepakaran tokoh Arab Mesir berketurunan Yemen itu sememangnya diperakui oleh ramai sarjana Islam dan Barat.

Nama Ibnu Yunus telah diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan. Penamaan itu dicetuskan oleh seorang profesor dalam bidang astronomi dan falsafah, Joannes Baptista Riccioli dari Bologna, Itali pada tahun 1651 dan kemudian disahkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa pada tahun 1976.

Nama sebenar beliau adalah Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A’la al-Sadafi. Beliau datang daripada keluarga yang bukan calang-calang. Datuk dan bapa beliau merupakan seorang ulama. 

Hasil pembacaan Sinar Islam, kehidupan Ibnu Yunus sewaktu kecil tidak banyak yang diuar-uarkan. Menurut satu riwayat yang terkenal, Ibnu Yunus dilahirkan antara 950 dan 952 Masihi di Fustat, Mesir.

Kemasyhuran beliau mula menonjol apabila tokoh hebat tersebut menjalin hubungan rapat dengan Kerajaan Fatimiah di Mesir.

Ia bermula pada era Khalifah al-Aziz (995 Masihi) yang mengetuai kerajaan tersebut pada ketika itu.

Pada zaman berkenaan, beliau diberikan tanggungjawab untuk menulis sebuah rajah penggerak cakerawala. Rajah tersebut turut digunakan oleh Khalifah al-Aziz.

Kehandalan beliau semakin terserlah apabila beliau diberi amanah untuk membina satu pusat kajian bintang di kota Kaherah.

Khidmat Ibnu Yunus dengan kerajaan berkenaan tidak terhenti setakat di situ sahaja. Ketika Khalifah al-Hakim menerajui kerajaan, beliau sempat mempersembahkan karyanya bertajuk Al-Zi Al-Hakimi Al-Kabir iaitu sebuah buku pegangan astronomi dengan jadual.

Ada riwayat mengatakan, beliau telah mengabdikan dirinya dalam bidang astronomi untuk kedua-dua khalifah berkenaan selama 30 tahun.

Sarjana Islam itu telah membuat lebih 10,000 catatan mengenai kedudukan matahari sepanjang tahun.

Selain menguasai ilmu falak, beliau juga dipercayai mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang-bidang ilmu yang lain. Bahkan, beliau juga seorang yang kreatif dan produktif.

Kaji Pergerakan Bulan Dan Matahari

Sesungguhnya, kemasyhuran Ibnu Yunus dalam bidang astronomi memang sukar disangkal. Walaupun demikian, beliau dilihat lebih menonjol dengan kajian tentang pergerakan bulan dan matahari.

Beliau berjaya memperoleh hasil penyelidikan yang banyak daripada kegiatannya di pusat penyelidikan yang dibangunkannya di Kaherah. Penemuan-penemuan tersebut telah digunakan untuk kajian perbandingan.

Selain itu, Ibnu Yunus merupakan seorang penyair. Beliau turut mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu. Hasil ciptaannya itu banyak menjelaskan persoalan-persoalan tentang pergerakan cakerawala. Beliau juga merupakan individu pertama yang mereka cipta batu jam.

Menerusi karya tinggalannya Al-Ziji Al-Kabir, beliau telah memperkenalkan satu penemuan baharu berupa ayunan bandul. Alat itulah lazimnya digunakan untuk mengetahui detik-detik waktu ketika meneropong benda-benda di angkasa. Ia sama seperti ayunan bandul yang digunakan untuk jam dinding.

Reka cipta itu dikatakan lebih awal berbanding yang dilakukan oleh sarjana Barat, Galileo Galilie (1564-1642 Masihi) iaitu kira-kira 600 tahun sebelum itu.

Dalam karya Al-Ziji Al-Kabir itu juga, Ibnu Yunus melaporkan bahawa cerapan pertama yang dibuat oleh kaji bintang Islam adalah sejak abad ke-9 Masihi.

Selain itu, kitab beliau yang turut dikenali dengan nama Hakemite Astronomical Table tersebar luas ke seluruh dunia. Maka, kitab tersebut telah menjadi rujukan ramai pihak kerana diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Berdasarkan catatan sahih, rata-rata ilmuan dunia menyifatkan antara sumbangan terbesar Ibnu Yunus merujuk kepada kebijaksanaannya mengetengahkan tentang gerhana matahari dan bulan. Beliau dipercayai individu pertama di dunia yang berbuat demikian.

Keupayaan itu dinukilkan beliau sendiri menerusi kitab at-Ta’dil al-Muhkam. Beliau juga telah menghuraikan tentang ukuran solat, daftar bayang-bayang dan azimut matahari.

PROFIL

Nama: Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A’la al-Sadafi

Gelaran: Ibnu Yunus

Kepakaran: Astronomi dan matematik

Tahun kelahiran: 950 atau 952 Masihi

Tahun kematian: 1009 Masihi

Karya agung:

– Al-Zi Al-Kabir yang memperkenalkan penemuan berupa ayunan bandul untuk mengetahui detik-detik waktu meneropong benda-benda di angkasa.

– Kitab Al-Mikhail yang mengisahkan tentang matahari.

Sumbangan:

-Mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu.

– Mereka cipta batu jam.

Sumber: SINAR HARIAN