KUANTAN : Sejumlah RM1.2 juta telah diperuntukkan bagi membantu seramai 2,403 mangsa banjir di Daerah Maran.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Kuala Sentul berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM221,500 jumlah bantuan wang ihsan telah diperuntukkan untuk 443 mangsa banjir di kawasan Dewan Negeri Kuala Sentul.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata, Penyerahan Wang Ihsan tersebut telah dilaksanakan mengikut sesi di mana sesi pertama seramai 216 penerima membabitkan peruntukan RM108,000.
“Manakala bagi sesi kedua pula telah melibatkan seramai 227 penerima yang telah menjadi mangsa banjir dengan peruntukan sebanyak RM113,500,” katanya.
Majlis Penyampaian Wang Ihsan Kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Mangsa Banjir Negeri Pahang Tahun 2021 itu telah diadakan di Dewan Kampung Kuala Sentul, Maran.
YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyalurkan bantuan kepada rakyat di Pahang bagi memastikan semua pihak dapat dibantu secara menyeluruh sekali gus dapat menikmati hasil kemajuan hasil usaha pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan lain.
Kerajaan Pahang akan terus menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa dan bersedia untuk membantu rakyat dalam segala situasi sama ada pasca pandemik COVID-19 atau pun bencana seperti banjir.
Sumber: PAHANGMEDIA