PEKAN: Seramai 2,665 mangsa banjir di Pekan menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan Banjir dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.35 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,043 penerima dari Dewan Negeri (DN) Bebar, 603 dari DN Pulau Manis, 878 dari DN Peramu Jaya dan 141 dari DN Chini.
Katanya, penerima sumbangan terdiri daripada ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara atau rumah saudara mara dan peniaga gerai serta rumah kedai yang turut terkesan, dengan setiap seorang akan menerima Wang Ihsan sebanyak RM500.
“YAB Menteri Besar Pahang menyedari bahawa ramai mangsa banjir di negeri ini yang perlu diberi perhatian dan dibantu dan kerana itu beliau berusaha sebaik mungkin untuk memberi bantuan wang ihsan ini mangsa banjir,” katanya di sini semalam.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang mengambil satu pendekatan lebih menyeluruh untuk membantu rakyat meneruskan kehidupan dan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi mereka ketika bencana banjir dan pandemik wabak COVID-19.
Sumber: PAHANGMEDIA