Rantau Panjang: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku dan barangan runcit bernilai RM55,713 di Kampung Tasek, di sini, semalam.
Kesemua barangan itu dirampas selepas anggota bertugas menahan sebuah lori berwarna putih dalam keadaan mencurigakan pada 7.30 malam.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata, pemeriksaan terhadap badan pemandu lori berkenaan tidak menemui barangan salah.
“Namun, pemeriksaan pada bahagian belakang lori menemui beberapa kotak dan plastik berwarna putih mengandungi pelbagai jenis makanan sejuk beku serta barangan runcit.
“Pemandu gagal mengemukakan dokumen perjalanan kerana kesemua barangan ini disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan tidak diwartakan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Lori serta barangan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi tindakan lanjut, sebelum rampasan diserahkan kepada Unit Keselamatan dan Kualiti Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nor Azizan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua rampasan itu dalam perjalanan untuk dibawa ke luar Kelantan selepas disimpan di lokasi transit di sepanjang Sungai Golok.
“Permintaan tinggi terhadap produk dari negara jiran itu menyebabkan penyeludup nekad mencari ruang serta peluang membawa masuk barangan secara haram.
“Namun, kami sentiasa mengawal ketat setiap pangkalan haram yang ada bagi mengekang jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Makanan 1983.
Sumber: My Metro