Tumpat: Kedatangan musim tengkujuh sememangnya dinantikan pemburu ikan darat yang sentiasa mencari lubuk bagi aktiviti menjala atau menyauk.
Dua hari berlangsung meriah, tali air di Kampung Gelang Kechik di sini bagaikan pesta apabila orang ramai bertali arus datang menangkap sepat kedah, puyu dan lampam sama ada dengan cara menebar jala atau menggunakan alat penyauk.
Mohd Hafiz Musa, 40, daripada Kampung Pengkalan Nangka berkata, sudah dua hari dia datang ke tali air itu untuk menyauk ikan darat dan sudah memperoleh hasil yang agak lumayan.
“Semalam saya datang, belum ramai lagi yang tahu lokasi ini dan hasil yang diperoleh sekitar 10 kilogram (kg) walau hanya menggunakan penyauk.
“Hari ini saya kembali datang dan tangkapan tetap banyak yang mana semua ikan ini saya akan sedekahkan kepada sesiapa yang ingin kerana aktiviti ini saya anggap sebagai minat sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kewujudan ikan darat yang banyak di tali air itu adalah berikutan pintu air dibuka di Kampung Dalam Rhu tidak jauh dari situ berikutan hujan lebat dua hari lalu yang menyebabkan air yang dilepaskan mengalir ke sawah padi sekaligus membawa bersama ikan darat ke tali air.
Bagi Mokhtar Mohamad, 50, pula, tangkapan ikan sepat kedah yang diperolehinya dijadikan pekasam sebelum dijual dengan harga RM4 untuk 180 gram.
Menurutnya lagi, lokasi tali air Kampung Gelang Kechik itu sering menjadi tumpuan setiap kali menjelang musim tengkujuh dan bukan sahaja penduduk sekitar tapi juga dari beberapa kampung lain akan datang menjala atau menyauk ikan darat.
“Biasanya hanya dua hari selepas pintu air dibuka sahaja ikan darat ini akan banyak di dalam tali air kerana apabila air semakin surut, ikan sudah tiada.
“Jadi dalam tempoh dua hari ini penduduk akan datang setiap masa untuk mendapatkan hasil tangkapan sama ada untuk makan sendiri, jual atau dijadikan pekasam,” katanya.
Selain dijadikan pendapatan sampingan, Mohd Afandi Dolah, 35, datang menjala di tali air itu disebabkan hobi dan terpanggil berikutan orang ramai datang memenuhi lokasi terbabit.
Kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian itu berkata, selain lokasi tali air Kampung Gelang Kechik, dia akan meninjau lubuk lain sekadar memenuhi masa lapang dan minatnya untuk menjala.
“Petang semalam ketika sedang meninjau lokasi menjala, saya ternampak orang memenuhi kawasan ini dan singgah untuk mencuba nasib sebelum memperoleh beberapa kilogram yang kesemuanya disedekahkan kepada orang ramai,” katanya.
Sumber: My Metro