Muadz Ditarbiah Rasulullah Sendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ketika Semenanjung Tanah Arab disinari cahaya hidayah dan kebenaran, terdapat seorang anak muda Yathrib dengan wajah tampan, rambut hitam bersinar dan mata bercelak bernama Muadz bin Jabal. Beliau berjaya menarik perhatian orang ramai disebabkan oleh ketampanan yang dimiliki beliau. 

Pada malam perjanjian Aqabah, beliau memeluk Islam di hadapan pendakwah dari Kota Makkah iaitu Mus’ab bin Umair. Beliau berjabat tangan dengan baginda SAW dan telah berjanji untuk taat setia serta sanggup berjuang menyebarluaskan agama dibawa baginda.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai Muadz. Muadz merupakan insan yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW dengan berkata: “Umatku yang paling arif mengenai halal dan haram ialah Muadz bin Jabal.”

Tatkala Muadz memeluk Islam, beliau bersama remaja lain mula bergerak menyebarluaskan agama Allah SWT dengan menggunakan pendekatan dan cara yang sangat berbeza. 

Sembunyikan Berhala

Pada malam hari, mereka secara rahsia menyembunyikan berhala yang disembah orang Musyrik Madinah. Antara berhala itu milik seorang lelaki tua yang memimpin kaumnya, Bani Salamah. Lelaki tua tersebut adalah Amru bin Al-Jamuh. 

Maka, Muadz bersama anak Amru yang sudah memeluk Islam mencari helah untuk mencabut berhala Manata daripada hati Amru bin al-Jamuh. Mereka bertindak mengambil berhala itu di tengah malam dan diletakkan di tempat pembuangan sampah.

Keesokannya, Amru mencari berhala berkenaan dan menjumpainya. Kemudian, Amru memandikan dan dipakaikan pakaian baharu. Malam keesokannya, berhala tersebut hilang lagi dan saban hari perkara itu berulang.

Oleh kerana berhalanya selalu hilang setiap malam, akhirnya beliau berkata kepada berhalanya: “Wahai Manata, andainya engkau ini ada kebaikan padamu, kamu lawanlah sendiri penjahat yang berbuat jahat kepadamu. Aku tidak tahu siapa yang berbuat jahat kepadamu sedangkan engkau dapat melihat mereka.”

Amru bin Jamuh meletakkan pedangnya kepada Manata untuk dibiarkan berhalanya berlawan sendiri.

Pada malamnya, ketika Amru sedang tidur, anaknya bersama Muadz bin Jabal mengangkut berhala berkenaan. Pada malam itu mereka menemui bangkai anjing lalu meletakkan berhala Manata berpelukan dengan bangkai anjing serta diikat pedang Amru di situ. Kemudian dicampakkan ke tempat pembuangan sampah.

Keesokan harinya Amru yang sudah mula hilang keyakinan terhadap berhala kerana  berhalanya selalu hilang. Amru telah mencari berhala itu dan menemuinya di dalam lubang tempat pembuangan sampah dalam keadaan berpelukan dengan bangkai anjing.

Maka ketika itu dia tidak lagi mengambil Manata, tetapi mengungkapkan satu syair. Katanya: “Demi Allah, kalaulah engkau Tuhan, engkau tidak akan berpelukan dengan anjing di dalam lubang.”

Akhirnya beliau memeluk agama Allah SWT berkat kenakalan dan kecerdikan anaknya dan Muadz.

Ketika Rasulullah SAW tiba di Kota Madinah, Muadz sentiasa bersama baginda, mengikut dan mengambil al-Quran daripada bacaan baginda. Beliau juga mengecapi syariat Islam langsung daripada Rasulullah SAW sehingga dikenali sebagai qari dalam kalangan sahabat.

Muadz Jadi Tumpuan

Abu Muslim al-Khawalani pergi ke sebuah masjid di Damsyik dan mendapati terdapat satu halaqah tergolong daripada 30 hingga 50 orang sahabat. Ketika itu terdapat seorang anak muda yang tampan. Setiap kali kumpulan itu menghadapi satu soalan yang tidak dapat diselesaikan, mereka menghalakan wajah kepada anak muda itu.

Maka kata Abu Muslim: “Aku bertanya kepada mereka yang duduk di dalam majlis itu siapakah anak muda itu? Kata mereka, itulah sahabat Rasulullah SAW, Muadz bin Jabal.” 

Itulah kelebihan Saidina Muadz bin Jabal yang mendapat tarbiah langsung daripada Rasulullah SAW.

Muadz antara enam sahabat yang menghafal al-Quran di zaman Rasulullah SAW dan mengumpulkan al-Quran. Ketika zaman Rasulullah SAW, Muadz diambil oleh Abu Bakar dan Umar dan dijadikan sebagai guru kaum Muslimin disebabkan ketokohan dan kewibawaan ilmu Muadz.

Ramai orang Quraisy memeluk Islam ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah. Itab bin Usaid telah dilantik oleh beliau SAW sebagai pemimpin kota Makkah dan meninggalkan Muadz sebagai guru untuk mengajarkan al-Quran dan memberikan kefahaman agama kepada mereka.

Saat datangnya utusan daripada Raja Yaman, Raja Bazan yang menyatakan kerelaannya memeluk Islam serta menyatakan keislaman seluruh rakyat jelata di bawah pemerintahannya. Beliau meminta baginda SAW mengutuskan kepadanya orang yang boleh mengajarkan Islam.

Rasulullah SAW kemudiannya telah memilih Muadz bin Jabal. Muadz adalah sebaik-baik murid kepada Rasulullah SAW dan menjadi guru kepada ramai kaum Muslimin yang dahagakan ilmu serta kefahaman Islam.

Sumber: BERITA HARIAN