Menyorot kisah peranan wanita dalam pembangunan negara, pembabitan golongan ini sebenarnya bermula sejak awal dakwah Rasulullah SAW lagi.
Penubuhan Madinah sebagai sebuah negara Islam dilihat penting kerana dari situlah titik tolak perjalanan penyebaran Islam ke serata dunia sehingga sampai nikmat Islam itu kepada kita hari ini.
Dakwah baginda dijalankan secara rahsia dan tersembunyi pada permulaan turunnya wahyu. Pada waktu itu juga, golongan wanita memberikan komitmen yang tinggi terhadap perjalanan dakwah.
Lihatlah bagaimana Islam mendidik golongan wanita untuk berperanan dan bertanggungjawab melaksanakan sesuatu dengan tertib, berpendirian teguh dan penuh amanah.
Menyusuri perjalanan pejuang Islam wanita iaitu Asma’ Abu Bakar as-Siddiq, kita dapat lihat bahawa wanita diangkat dan diberikan kepercayaan tinggi sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Gelaran mulia ‘dzatun nithaqain’ iaitu ‘wanita yang mempunyai dua tali pinggang’ diberikan kepada Asma’ oleh Rasulullah. Gelaran tersebut sebagai tanda memperingati pengorbanan beliau ketika peristiwa Hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah.
Tanggungjawab sebagai penyimpan rahsia agama dan negara terpikul di atas bahu Asma’.
Menurut Sahih Al Bukhari, dari Saidatina Aisyah, juga adik kepada Asma’ menceritakan bahawa “Pada suatu siang di rumah Abu Bakar, Rasulullah SAW datang dalam keadaan penyamaran”.
Pada waktu itu, seluruh keluarga Saidina Abu Bakar termasuk Asma’ mengetahui mengenai penghijrahan Nabi Muhammad yang perlu dilakukan secara sulit dan sembunyi.
Asma’ ketika itu dipertanggungjawab menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar ketika kedua-duanya bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hijrah mereka ke Madinah.
Asma’ mendapat gelaran ‘dzatun nithaqain’ disebabkan kecintaan beliau kepada Islam dan Rasulnya. Hal ini dapat dilihat apabila Asma’ telah mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat bekalan makanan untuk dibawa ke gua
Bukan saja keberanian mendorong perjalanan Asma’ sebagai penghantar makanan, malah kecerdikan akalnya dizahirkan dengan perancangan strategi perjalanannya.
Asma’ sedar bahawa dua sahabat yang akan menerima bekalan itu sangat berperanan penting dalam menegakkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia.
Dengan berhati-hati beliau berjalan ke tempat persembunyian Rasulullah SAW dengan diiringi sekawan kambing yang berjalan di belakangnya pada hening malam.
Tujuannya supaya jejak tapak kaki beliau di padang pasir itu terhapus dengan jejak kambingnya bagi mengaburi pihak musuh yang sedang memburu Rasulullah untuk dibunuh.
Atur Gerakan Politik
Ketika peristiwa itu, Asma’ sedang hamil, namun beliau sanggup mempertaruhkan nyawanya semata-mata untuk menyampaikan berita kepada Rasulullah mengenai rancangan orang Quraisy di Makkah. Malah, keselamatan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar ketika itu terancam jika Asma’ tidak berhati-hati.
Kisah Asma’ mengajar kita tentang peranan wanita dalam gerakan politik bagi memastikan kelangsungan hidup Rasulullah dan ajaran Islam yang akhirnya membawa kepada kejayaan pembentukan negara Islam berdaulat.
Malah, selepas kejayaan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian untuk berhijrah ke Madinah, Asma’ telah didatangi beberapa kaum Quraisy yang diketuai Abu Jahal. Mereka menanyakan pelbagai soalan tentang tempat persembunyian Muhammad.
Tanpa gerun Asma’ hanya menjawab ‘tidak tahu’ sehingga ditampar Abu Jahal menyebabkan subang di telinganya terlepas.
Kisah pendek tokoh pejuang Islam ini membuktikan bagaimana Islam mengangkat wanita sehingga mendapat kepercayaan tertinggi dan penyimpan amanah terbaik.
Kisah Asma’ perlu dijadikan iktibar kepada wanita hari ini untuk memainkan peranan besar dalam pembinaan masyarakat, tamadun negara, penggubal dasar dan membawa syariat Islam di muka bumi.
Semoga seluruh wanita mampu memacu peranan dan tanggungjawab mereka supaya tidak terhad hanya kepada diri sendiri serta keluarga, bahkan pembabitan mereka penting ke arah membangunkan bangsa dan negara.
Sumber: BERITA HARIAN