KUALA TERENGGANU – Peserta pasar tani diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan musim tengkujuh yang sedang melanda negeri ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Che Ghani Che Wan berkata pihaknya tidak akan berkompromi malah menyokong tindakan dikenakan terhadap peserta yang berbuat demikian.
Menurutnya, peserta pasar tani perlu mematuhi garis panduan senarai harga barangan yang telah ditetapkan.
“Kita bukan sahaja tidak akan berkompromi malah turut memberi kerjasama kepada agensi penguat kuasa lain supaya mengambil tindakan terhadap peserta yang menaikkan harga barangan secara keterlaluan.
“Pemantauan akan sentiasa dilakukan dan garis panduan juga akan dikeluarkan kepada peserta pasar tani, terutama membabitkan harga ayam, ikan dan sayur-sayuran,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Labu Makanan Jalanan di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini, hari ini.
Turut hadir sama adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Mengulas mengenai ketetapan RM9.50 sen sekilogram harga ayam dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Che Ghani berkata, semua peniaga ayam di pasar tani seluruh negeri digesa supaya mematuhi harga ditetapkan walaupun ada antara peserta mendakwa sukar mendapatkan bekalan daripada pembekal.
“Setakat ini kita berpuas hati apabila peniaga ayam mematuhi arahan ditetapkan.
“FAMA tidak akan bertanggungjawab dan bersedia memberi kerjasama kepada agensi penguat kuasa lain termasuk KPDNHEP mengambil tindakan ke atas peserta pasar tani yang menaikkan harga jualan selain menjual pelbagai barangan dengan harga keterlaluan,” katanya.
Mengulas mengenai barangan di musim tengkujuh, Che Ghani memberi jaminan semua barangan termasuk ikan segar, ayam, daging dan sayur-sayuran mencukupi.
Sumber: HARIAN METRO