Balik Kampung Bawa Covid-19 Punca Kes Meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Peningkatan kes Covid-19 di negeri ini terutamanya di daerah Pekan dikesan berpunca daripada ahli keluarga yang positif pulang ke kampung halaman.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, peningkatan kes di Pekan disumbangkan oleh kes dari Felda Chini di mana seramai 62 kes dari 25 buah keluarga dikesan di Felda Chini 1 hingga Felda Chini 3.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus.

“Hasil siasatan mendapati waris ahli keluarga pulang ke kampung membawa ‘buah tangan’ Covid-19 bersama.

“Lebih memburukkan keadaan, ada perhimpunan keluarga seperti kenduri dan majlis sosial yang lain dilakukan dengan kurangnya pematuhan SOP di kalangan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau.

Menurut beliau, langkah terbaik ialah melakukan ujian saringan kendiri sebelum pulang ke kampung atau selepas pulang dari tempat percutian.

“Tindakan ini sangat berkesan untuk mencegah penularan lagi besar jika kita disahkan positif.

“Seringkali kita berpesan, bila melakukan rentas negeri atau pergi ke mana-mana, pastikan kita tidak membawa virus COVID 19 bersama,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan bahawa pematuhan SOP ketika berhimpun bersama keluarga adalah hampir tiada seperti tidak memakai mask.

“Jesteru, kaedah terbaik dan asas adalah jangan ‘perkenalkan’ virus Covid-19 dengan pastikan kita bebas dulu dari virus tersebut barulah kita boleh berhimpun ramai-ramai.

“Dengan cara ini, kluster di kalangan keluarga boleh dielakkan selain mematuhi SOP dan pengambilan vaksin sebagai kawalan terbaik,” katanya.

Beliau berharap setiap individu berusaha untuk mematuhi peraturan dalam kehidupan norma baru kini dan sentiasa ingat bahawa kemenangan dalam membebaskan diri daripada wabak pembunuh itu masih belum diperoleh sehingga ke saat ini.

Sumber: PAHANGMEDIA