Sindiket Lebai Loh beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Datuk Che Mohd Rahim Che Jusoh

Kota Bharu: Sindiket nikah tanpa tauliah yang dikenali sebagai Lebai Loh dikenal pasti sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu.

Bekas imam berusia 71 tahun itu menjadikan kediamannya di Kampung Chuchoh Puteri dekat Kuala Krai sebagai lokasi akad nikah.

Sumber berkata, bekas imam itu akan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 dengan menjanjikan proses akad nikah itu berjalan lancar.

Katanya, beberapa faktor utama pasangan pengantin memilih khidmat sindiket nikah iaitu mahu berpoligami, gagal mendapat restu keluarga dan mahu berkahwin dengan warga asing.

“Bagi kegiatan sindiket Lebai Loh, orang tengah yang memainkan peranan iaitu mencari dan membawa pengantin ke rumah Lebai Loh untuk dinikahkan.

“Bayaran yang dikenakan bergantung kepada tahap kesulitan yang dialami pasangan pengantin dan bayaran terbabit akan dibahagi sama rata di antara orang tengah dan Lebai Loh.

“Pasangan pengantin sanggup membayar walaupun caj yang dikenakan mahal bagi memastikan urusan akad nikah berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi.

Sumber itu berkata, Lebai Loh turut mempunyai rangkaian di Thailand kerana sijil nikah yang diberikan kepada pengantin adalah dari Thailand.

“Jika sebelum ini pasangan yang mahu berpoligami atau gagal mendapat restu keluarga memilih berkahwin di Thailand, namun kini pasangan berkenaan tidak perlu ke negara jiran sebaliknya banyak sindiket yang beroperasi di sini.

“Bayangkan jika lebih 20 tahun Lebai Loh sudah beroperasi, mungkin sudah ribuan pasangan pengantin yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan.

“Ia membimbangkan kerana perkahwinan berkenaan tidak sah, sedangkan pasangan berkenaan tinggal bersama dan mempunyai anak,” katanya

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) menumpaskan sindiket nikah tanpa tauliah yang dikenali sebagai Lebai Loh di Kampung Chuchoh Puteri di Kuala Krai.

Serbuan yang dilakukan pada 28 Oktober berkenaan membawa kepada penahanan ‘Lebai Loh’ yang juga bekas imam berusia 71 tahun.

Pengarahnya, Datuk Che Mohd Rahim Che Jusoh, berkata menerusi serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas beberapa dokumen berkaitan perkahwinan termasuk borang dari Thailand.

Sumber: My Metro