Nizam al-Mulk Sebar Luas Tradisi Pendidikan Islam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bermula sejak 1037, kesultanan Seljuk di bawah pemerintahan Abbasiyah mencetus kebangkitan kepemimpinan umat Islam sehingga membawa kemunculan pemerintahan Uthmaniyah.

Selain menyaksikan perkembangan dalam politik dan pentadbiran, tempoh pentadbiran kesultanan Seljuk juga menyaksikan perkembangan sangat hebat dalam keilmuan dan pendidikan.

Di sebalik segala pencapaian terakam dalam catatan sejarah, pastinya perhatian terarah kepada seorang pemimpin de facto yang mentadbir empayar selama 30 tahun.

Sebagai seorang Perdana Menteri, Nizam al-Mulk telah mentadbir empayar Seljuk di bawah kepemimpinan dua Sultan iaitu Alp Arslan (1062 hingga 1072) dan puteranya, Malikshah (1072 hingga 1092).

Nama sebenar beliau ialah al-Hasan bin ‘Ali bin Ishaq. Beliau dilahirkan di Tus, Iran pada 1018. Pada usia 10 tahun, beliau menghafal al-Quran dan kemudian menyambung pengajian di Naysabur, Bukhara, Marw serta beberapa tempat yang lain.

Sejak 1049, beliau berkhidmat dengan kesultanan Ghaznawi sebelum kesultanan Seljuk mengambil alih pemerintahan. Bermula dari situ, Nizam al-Mulk berjinak-jinak dengan dunia politik dan pentadbiran sehingga akhirnya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Alp Arslan pada 1062.

Tidak sekadar menjadi seorang pentadbir, beliau juga pemikir yang menghasilkan karya Siyasat Nameh (buku tentang politik). Karya tersebut mengenai pemerintahan dari perspektif seorang pemerintah Muslim.

Beliau dianugerahkan beberapa gelaran disebabkan kebijaksanaannya seperti Atabey (gelaran Turki yang bermaksud tuan ayah), Nizam al-Mulk (gelaran yang dikurniakan oleh Alp Arslan bermaksud pengatur pemerintahan), Khawwajah Buzurg dan al-Wazir al-Kabir (kedua-duanya bermaksud Perdana Menteri) serta Ghiyath al-Dawlah (penaung negara).

Pemerintah Abbasiyah iaitu Khalifah al-Qa’im bi-Amr Allah turut menganugerahkannya dengan dua gelaran besar iaitu Qawam al-Din (penegak agama) dan Radiy Amir al- Mu’minin (yang diredai oleh pemerintah orang beriman) dengan gelaran kedua sepatutnya hanya diberi kepada putera khalifah.

Semua pengiktirafan ini layak dengan sumbangan beliau sepanjang memegang tampuk pentadbiran. Antaranya kejayaan beliau ialah menggerakkan peranan ilmuwan pada masa itu untuk menentang gerakan Batiniyah yang bermatlamat mengambil alih tampuk pemerintahan secara pemberontakan.

Hasan al-Sabbah selaku pemimpin gerakan itu sangat membenci beliau yang berjaya membangkitkan semangat keilmuan Sunni sehingga akhirnya menggagalkan kelicikan Batiniyah yang beroperasi di kota kubu gunung Alamut.

Bagi menghadapi penentangan Batiniyah yang maha dahsyat,  Nizam al-Mulk telah membangunkan senjata keilmuan dan kerohanian.

Maka, peranan ilmuwan seperti Abu Hamid al-Ghazali, Omar Khayyam, al-Isfizari dan Yusuf al-Hamadani digerakkan dalam kalangan masyarakat supaya dapat memelihara diri mereka daripada terjebak dengan hasutan Batiniyah.

Selain Balai Cerap Malikshah dan Kalendar Jalali sebagai antara legasi keilmuan diwariskan, sumbangan Nizam al-Mulk lebih dikenang dalam membangunkan rangkaian Madrasah Nizamiyyah sebagai legasi utama pendidikan Islam.

Walaupun wujud pelbagai institusi pendidikan sebelum itu, beliau berperanan penting dalam memperkenalkan madrasah sebagai institusi pengajian tinggi yang menyelaraskan sistem pendidikan tersendiri.

Madrasah Nizamiyyah dibangunkan secara khusus sebagai tempat mengajar dan belajar. Maka, ilmuwan seperti Abu al-Ma’ali al-Juwayni, Abu Ishaq al-Shirazi, Abu Bakr al-Khujandi, Abu Hamid al-Ghazali dan lain-lain dijemput mengajar di Madrasah ini. 

Antara sistem diperkenalkan menerusi Madrasah Nizamiyyah ialah kewujudan hierarki pentadbiran yang digambarkan menerusi istilah nazir atau wali (Penaung), mutawalli (Pengurus), imam (Imam Masjid), khazin atau amin (Pustakawan) dan mustakhdamin (Pembantu Pengurusan).

Begitu juga dengan hierarki pengajaran yang tergambar menerusi istilah mudarris (guru utama), naib mudarris (timbalan guru), muqri’ (guru al-Quran), muhaddith (guru hadis), nahwi (guru bahasa Arab), waiz (kaunselor) dan muid (tutor).

Dari aspek prasarana, selain dewan pengajian, masjid dan perpustakaan sebagai keperluan utama, Madrasah Nizamiyyah turut menyediakan kediaman kepada guru dan asrama kepada pelajar. Malah terdapat pasar dinamakan suq al-madrasah (pasar madrasah). Pasar tersebut bertujuan menyediakan keperluan harian.

Beliau berjaya membangun dan menyelaraskan sistem pendidikan tersendiri di seluruh rangkaian Madrasah Nizamiyyah di Naysabur, Baghdad, Balkh, Isfahan, Harat, Marw, Amul Tabaristan, Basrah, ‘Askar Makram dan Mawsil.

Namun kejayaan beliau tidak disenangi musuh Islam dan beliau telah dibunuh pada 1092 di satu kawasan antara Isfahan dan Baghdad. 

Kemasyhuran Madrasah Nizamiyyah sebagaimana tercatat lembaran sejarah menjadi bukti legasi sistem pendidikan Islam yang diwariskan sehingga akhirnya. Ia tidak sekadar memperkembangkan tradisi pendidikan di dunia Islam, malah memberi impak kepada perkembangan tradisi pendidikan di dunia Barat.

Legasi istimewa ini wajar menjadi model rujukan masa kini ke arah mengembalikan kegemilangan peradaban Islam yang berdiri di atas sifat keseimbangan antara kuasa dan ilmu, serta politik dan pendidikan.

Sumber: BERITA HARIAN