Lelaki Dicekup Bersama Pil Kuda, Heroin Bernilai RM110,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – Polis menahan seorang lelaki dan turut merampas pil kuda serta heroin bernilai RM110,000 di Taman Perumahan Rantau Mas, di sini, 8.30 malam tadi.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan selepas anggota polis yang bertugas terserempak lelaki itu dalam keadaan mencurigakan. Suspek sedang berjalan kaki sambil memegang bungkusan plastik berwarna kuning.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata sebaik mendekati suspek, anggotanya memperkenalkan diri sebagai polis.

“Akibat terkejut dengan kehadiran anggota, suspek bertindak untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan turut menemukan 200 biji lagi pil kuda serta heroin yang disorokkan di bawah simen berdekatan kawasan parkir.

“Hasil tangkapan itu, polis telah merampas 800 pil kuda dan 67.5 gram dadah jenis heroin dipercayai milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua dadah tersebut dirampas dan suspek telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Selepas soal siasat dijalankan, suspek mengakui kesemua dadah terbabit adalah miliknya selain menjadi pen ‘penjaga stor’ kepada seorang individu yang bernama ‘Jemey’.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO