Kota Bharu: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bercadang menubuhkan Skuad Keselamatan Elektrik bagi memberi kesedaran dalam penggunaan tenaga elektrik dengan betul.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata skuad berkenaan akan ditubuhkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, skuad berkenaan berperanan memberi kesedaran kepada rakyat bahawa kesilapan dalam menjaga kemudahan elektrik boleh membawa musibah.
Katanya, selain itu, skuad berkenaan juga mendidik masyarakat berkenaan penggunaan boleh baharu seperti hidroelektrik dan solar.
“Untuk elektrik, ia adalah satu tenaga yang perlu diuruskan dengan baik supaya dapat dimanfaatkan sebaiknya.
“Sekarang ini kita menggalakkan tenaga boleh baharu iaitu tenaga elektrik yang dijana selain daripada arang batu dan gas. Sebab itu ada hidroelektrik dan solar.
“Justeru, Skuad Keselamatan Elektrik ini akan memberi kesedaran kepada rakyat dan mungkin ia akan ditubuh di peringkat sekolah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, skuad berkenaan juga menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau sebagai menteri yang menjaga kementerian berkenaan.
Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai insentif yang akan diberikan kepada negeri yang berjaya memastikan hutan simpan dikekalkan, Takiyuddin berkata perkara itu mengambil kira beberapa kriteria.
Katanya, antara kriteria adalah penanaman semula pokok yang ditebang selain peratusan hutan simpan yang berjaya dikekalkan.
“Kita mendapati ada negeri yang lebih 50 peratus kawasan hutan simpan termasuk Sabah dan Sarawak. Ada juga negeri yang hanya 50 peratus dan ke bawah.
“Jumlah insentif berkenaan adalah bergantung kepada peratusan hutan simpan seperti ada negeri yang mendapat RM10 juta. Penilaian akan dibuat oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Sumber: My Metro